Tarif AS: Kerajaan sedia dana RM1 bilion bantu pengeksport PKS

Free Malaysia Today (FMT)

5 May 2025

Tarif AS: Kerajaan sedia dana RM1 bilion bantu pengeksport PKS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga setuju tambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta.

Kerajaan komited membantu perniagaan yang terjejas akibat perkembangan global semasa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bawah skim jaminan pembiayaan perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata sebagai langkah permulaan kerajaan juga setuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan (DFI) bagi manfaat usahawan PKS.

“Kerajaan komited untuk membantu perniagaan yang terjejas akibat perkembangan global semasa dan akan terus memantau perkembangan semasa.

“Putrajaya juga sedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang terkesan secara langsung,” katanya yang juga menteri kewangan pada sidang khas Dewan Rakyat.

Presiden AS Donald Trump mengumumkan langkah menerapkan tarif timbal balas kepada hampir semua negara termasuk Malaysia.

Kesan daripada pelaksanaan itu, Malaysia dikenakan tarif 24% dan kadar ini ditangguhkan untuk tempoh 90 hari dengan kadar asas sementara 10%.

Sementara itu, Anwar berkata dengan perang perdagangan tercetus antara rakan dagang utama, penting untuk Malaysia mempelbagaikan pasaran perdagangan ke pasaran baharu seperti di Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau terutama dengan negara ahli Asean.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk menggalakkan aktiviti ekonomi antara Asean melalui projek pembangunan merentasi Asean seperti Grid Kuasa Asean (Asean Power Grid).

“Selain itu, Malaysia akan meningkatkan aktiviti ekonomi di sempadan negara seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.

 

(Web Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/05/05/tarif-as-kerajaan-sedia-dana-rm1-bilion-bantu-pengeksport-pks)