Tarif: AS setuju runding lebih lanjut dengan Malaysia – PM

Suara Keadilan

5 May 2025

Tarif: AS setuju runding lebih lanjut dengan Malaysia – PM

Dewan diberitahu AS sedia berunding lanjut berkenaan tarif dengan Malaysia. Foto Jabatan Penerangan

Perbincangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) berjaya menunjukkan hasil apabila negara kuasa besar itu bersetuju untuk melanjutkan perundingan dengan terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balas yang dikenakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses itu masih berada di peringkat awal tanpa sebarang sebarang persetujuan muktamad oleh kedua-dua pihak.

Bagaimanapun katanya, hasil perbincangan dengan pegawai-pegawai tinggi perdagangan AS telah mendapat maklum balas positif dan Jemaah Menteri bersetuju agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memulakan rundingan dengan negara kuasa besar itu.

"Meskipun ini merupakan perbincangan awalan, namun saya ingin menekankan bahawa, Kerajaan Amerika Syarikat bersetuju untuk berunding dengan lebih lanjut dengan Malaysia dan terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan," katanya ketika berucap pada sidang khas Dewan Rakyat mengenai tarif hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pelaburan, dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz telah mengadakan lawatan kerja ke Washington DC, Amerika Syarikat pada 22 hingga 24 April lalu.

Malaysia merupakan antara 18 buah negara yang setakat ini berjaya mengadakan mesyuarat dengan kerajaan AS.

Lawatan kerja tersebut diadakan untuk meneroka peluang kerjasama dan perkara boleh ditawarkan Malaysia kepada AS di samping memohon supaya Malaysia dikecualikan daripada tarif timbal balik tersebut.

"Setakat ini, tawaran Malaysia kepada AS termasuklah menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam National Trade Estimates Report 2025 yang dikeluarkan oleh AS baru-baru ini.

"Hasil mesyuarat bersama-sama wakil perdagangan AS Jamieson Greer, Setiausaha Perdagangannya Howard Lutnick, kita telah menerima maklum balas positif daripada kerajaan AS. Jemaah Menteri dan NGCC (Pusat Tindakan Geoekonomi Negara) telah bersetuju supaya MITI memulakan proses rundingan dengan Amerika Syarikat," ujarnya.

Anwar berkata Malaysia harus mengatur langkah dalam berdepan dengan senario global semasa antaranya mengatur strategi memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.

Beliau berkata enam langkah digariskan termasuk rundingan tarif dengan AS dan penyelarasan dasar berkaitan perdagangan melalui NGCC, kerajaan akan memantau petunjuk utama ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.

Jelasnya, kerajaan juga berusaha menambah baik hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala termasuk pembelian atau pengimportan strategik daripada AS seperti tempahan 60 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG).

"Proses perdagangan dan pelaburan akan dimudah cara seperti dalam bidang pertanian, kewangan serta digital. Umpamanya, rangka kerja awan melibatkan penyedia perkhidmatan awan seperti Google, Amazon dan Microsoft sebagai sebahagian daripada usaha memajukan agenda digital sektor awam," kata beliau.

Perdana Menteri menjelaskan dasar mesra pelaburan juga dirangka bagi mempertingkatkan perlindungan hak harta intelek dalam bidang seperti cip elektronik.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan membantu pengeksport yang terjejas khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan langkah permulaan meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

"Kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas," kata beliau.

Anwar berkata kerajaan juga menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu seperti di Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau terutamanya dengan negara ahli ASEAN.

"(Langkah keenam) ...Meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI terutamanya dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara," katanya.

 

(Web Source: https://www.suarakeadilan.my/post/tarif-as-setuju-runding-lebih-lanjut-dengan-malaysia-pm)