Tarif: Tiada dasar negara, hak Bumiputera akan dikompromi dalam rundingan dengan AS

Utusan TV

5 May 2025

Tarif: Tiada dasar negara, hak Bumiputera akan dikompromi dalam rundingan dengan AS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KERAJAAN hari ini menegaskan bahawa tiada dasar utama negara termasuklah melibatkan hak serta kepentingan Bumiputera akan dikompromi dalam rundingan berhubung isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian terhadap halangan bukan tarif (NTB) hanya akan melibatkan peraturan tidak lagi relevan, dan semua perubahan akan dilakukan melalui proses telus dan inklusif

“Kerajaan ingin menegaskan ini penting kerana banyak dibangkitkan, apakah perbincangan dengan AS dan negara-negara lain CPTPP dan EU akan menyebabkan beberapa dasar induk kita ditukar.

“Ingin saya tegaskan beberapa dasar utama negara, dasar Bumiputera, keperluan vendor tempatan, perlindungan sektor strategik tidak akan diubah dalam semua rundingan.

“Ini kerana sementara kita mahu mengikut agenda perdagangan bebas, kita tidak boleh mengelak daripada melihat kepada kepentingan, keselamatan dan kepentingan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang membincangkan Persediaan Kerajaan Mengenai Dampak Pengumuman Pentadbiran Amerika Syarikat Berkenaan Tarif Timbal Balik Import Terhadap Malaysia, hari ini.

Baca artikel lain: Bubar saja MCA, sertai DAP – Chong Zhemin

Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan setuju meningkatkan pembiayaan sebanyak RM1 bilion menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendepani isu tarif.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga bersetuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.

“Sebagai langkah permulaan, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah SJPP khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

“Kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya lagi.

 

(Web Source: https://utusantv.com/2025/05/05/tarif-tiada-dasar-negara-hak-bumiputera-akan-dikompromi-dalam-rundingan-dengan-as/)