Berita Harian
4 Mac 2024
Tumpu cukai sedia ada dulu sebelum nilai semula GST
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan-Belanjawan 2024 di Hotel Hilton Kuala Lumpur. -NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan cukai sedia ada seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) buat masa ini, sebelum menilai keperluan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GST adalah struktur cukai yang sentiasa dan akan terus dinilai oleh kerajaan.
"Ia akan mengambil masa sebelum kami menilai semula semuanya (struktur pencukaian). Pada masa kini, fokus kami ialah terhadap alat yang kami ada, iaitu cukai perkhidmatan dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Belanjawan 2024, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Mengenai kekeliruan yang berlaku akibat kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus bermula Mac ini selain kebimbangan sama terhadap pelaksanaan cukai barangan mewah yang dijadualkan bermula Mei hadapan, Amir Hamzah berkata, ketika kerajaan cuba untuk meningkatkan perolehan, prinsip teras yang diamalkan ialah memastikan ia memberi impak minimum kepada rakyat.
Katanya, sektor seperti makanan dan minuman (F&B) dan parkir yang membabitkan ramai orang tidak terbabit dalam kenaikan berkenaan.
"Kita akui bahawa komunikasi kerajaan berhubung pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan boleh dilakukan dengan lebih baik, namun apa yang saya lebih bimbang ialah apabila terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada sebarang pengumuman kenaikan daripada kerajaan.
"Justeru itu saya berasa lega apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan akan melakukan penguatkuasaan dari segi harga barang.
"Selain itu, orang ramai juga boleh memainkan peranan dan membuat laporan sekiranya mereka merasakan kenaikan harga itu tidak konsisten dengan peningkatan cukai perkhidmatan," katanya.
(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1219465/tumpu-cukai-sedia-ada-dulu-sebelum-nilai-semula-gst)