UOB Malaysia sedia RM1 bilion pembiayaan lestari PKS

Berita Harian

19 September 2022

UOB Malaysia sedia RM1 bilion pembiayaan lestari PKS

KUALA LUMPUR: UOB Malaysia memperuntukkan pembiayaan RM1 bilion menerusi program UGreen Financing bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjayakan inisiatif kelestarian perniagaan.

UOB Malaysia dalam satu kenyataan berkata, program hasil kerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menjadikannya bank pertama untuk bekerjasama dengan SJPP dalam program pembiayaan hijau.

"Bank telah memperuntukkan RM1 bilion untuk program ini manakala SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).

"U-Green Financing disediakan untuk PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang layak daripada semua industri yang ingin menyumbang kepada pembangunan bandar pintar dan mampan. Syarikat yang ingin membangunkan atau membina bangunan hijau, memudahkan perdagangan hijau, ataupun menyumbang kepada ekonomi pekeliling juga layak untuk berbuat demikian," katanya.

Terbuka kepada kedua-dua pelanggan sedia ada dan baharu UOB Malaysia, kemudahan itu disediakan dalam bentuk pinjaman berjangka, kemudahan overdraf dan pembiayaan perdagangan.

Di samping menyediakan pembiayaan, UOB Malaysia juga akan bekerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk memperkenalkan siri bengkel berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Siri bengkel itu bertujuan melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan maklumat praktikal bagi memulakan perjalanan ESG.

Melalui siri bengkel itu, PKS dapat meraih manfaat daripada silibus yang dibangunkan bersama oleh MRANTI dan penyedia latihan yang diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei, berkata, UOB Malaysia bersama SJPP dan MRANTI, memainkan peranan penting dan saling melengkapi dalam menyokong penerimaan ESG oleh PKS.

"Bengkel anjuran MRANTI akan membantu PKS memperoleh pengetahuan yang diperlukan dalam penerimaan ESG, manakala kerjasama kami dengan SJPP akan menyediakan sokongan pembiayaan untuk membantu mereka memulakan usaha kemampanan mereka.

"Kami berbesar hati menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan SJPP dalam melancarkan program pembiayaan hijau untuk PKS. Dengan menjadikan pembiayaan hijau lebih mudah diakses, kami berharap ia dapat menggalakkan PKS menerima amalan perniagaan yang mampan.

"Ini akan meningkatkan profil ESG mereka, terutamanya jika mereka berminat untuk menyertai dan bersaing dalam rantaian nilai global," katanya.

Selain U-Green Financing, UOB Malaysia juga menjadi Institusi Kewangan Peserta bagi Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia, serta Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau.

Sementara itu, Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng berkata, cadangan kerjasama itu adalah selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"SJPP, melalui skim jaminannya, komited dalam menyokong usaha kerajaan menggiatkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor PKS. Pelbagai inisiatif dan polisi strategik dilaksanakan dengan tujuan merangsang dan membangunkan peluang perniagaan untuk sektor ini.

"Kami berharap U-Green Financing akan menggalakkan penerimaan amalan ESG oleh lebih banyak PKS dan syarikat korporat bersaiz sederhana selain mengurangkan jejak karbon mereka.

"Di samping itu, kami juga berbesar hati melihat institusi kewangan seperti UOB Malaysia dan organisasi seperti MRANTI mengambil langkah ke hadapan dan menggunakan kelebihan bersinergi mereka untuk terus menyokong aspirasi murni ini," katanya.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2022/09/1002082/uob-malaysia-sedia-rm1-bilion-pembiayaan-lestari-pks)