SJPP lonjak potensi usahawan

Harian Metro

9 October 2024

SJPP lonjak potensi usahawan

KETUA Pegawai Eksekutif Bayu Somerset, Emir Fauzi (kanan) dan Ketua pegawai Eksekutif Bayu Somerset Diana Kamalul (kiri) ketika temu ramah usahawan Sjpp di Butik Bayu Somerset Elmina Lakeside Mall, Shah Alam. FOTO Ahmad Ukasyah

Kuala Lumpur: Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terus menjadi pemangkin kepada kejayaan ramai usahawan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan sekaligus memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Skim tersebut yang diuruskan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad menjadi platform kepada usahawan untuk mendapatkan jaminan kerajaan yang membolehkan mereka mengakses pembiayaan dengan lebih mudah bagi operasi perniagaan, pengembangan, pembelian aset serta meningkatkan modal kerja.

Sebanyak RM20 bilion sudah diperuntukkan sebagai jaminan untuk SJPP dengan jumlah yang diluluskan sehingga 31 Ogos 2024 sebanyak RM12.55 bilion kepada 11,583 pembiayaan-pembiayaan yang diberi kepada syarikat dan peniaga PKS.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Somerset Sdn Bhd, Emir Fauzi berkata bagi usahawan, pembiayaan adalah nadi yang memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan.

Beliau yang sudah berjaya mengembangkan jenama fesyen modest dengan bantuan SJPP mengakui skim berkenaan sangat membantu mengembangkan perniagaannya.

Emir berkata, melalui SJPP, Bayu Somerset berjaya memperoleh pembiayaan bernilai RM1.4 juta daripada SME Bank.

"Skim ini sangat membantu kerana sebagai syarikat baru, tidak mudah untuk memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan.

"Dengan dana yang diterima melalui skim ini, kami dapat membeli stok, memperluaskan produk dan membuka cawangan lain bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi," katanya.

Beliau berkata, dengan suntikan dana itu, Bayu Somerset mampu memperluaskan operasinya ke lokasi strategik di seluruh negara dan mencatatkan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 199 peratus.

Emir berharap SJPP akan terus menyediakan bantuan kepada usahawan lain yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan.

Baginya, inisiatif ini bukan sahaja membantu syarikat seperti Bayu Somerset, tetapi juga berperanan besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongan kepada PKS.

Selain SJPP, kerajaan komited membantu PKS dan usahawan mikro dengan memberi bantuan pembiayaan daripada institusi kewangan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN Mikro-i Madani Nita.

PENGASAS Bersama De Doorgift House, Mohd Kamal Mahmood antara penerima manfaat SJPP

Pengarah Urusan Khayra Mom Resources, Mohd Kamal Mahmood, yang mengusahakan perniagaan De Doorgift House, berkongsi pengalaman menerima manfaat daripada inisiatif itu.

Katanya, sejak memulakan perniagaan secara rasmi pada 2016, De Doorgift House menjadi pusat sehenti sebagai salah satu penyedia utama perkhidmatan untuk cenderahati, katering, busana pengantin, pelamin dan pelbagai lagi.

"Saya mendapat bantuan pembiayaan BSN dengan jumlah RM50,000 dan sejujurnya bantuan seperti ini sangat membantu kerana kami memerlukan modal pusingan yang besar untuk membekalkan barangan kepada syarikat korporat.

"Proses permohonan pembiayaan juga lebih mudah dan lancar berbanding institusi perbankan lain, malah dengan rekod perniagaan dan dokumentasi yang lengkap, kita tidak perlu menghadapi banyak halangan birokrasi," katanya.

Mohd Kamal berkata, sebelum ini permohonan pembiayaan pihaknya sudah lebih tiga kali ditolak oleh bank konvesional walaupun mempunyai rekod kewangan yang baik.

Beliau berkata, bagi usahawan sepertinya, inisiatif kerajaan melalui pembiayaan seperti ini amat diperlukan untuk melonjakkan operasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

"Dana terbabit bukan sahaja membantu dalam jangka masa pendek, tetapi juga membina asas kukuh untuk pertumbuhan syarikat dalam tempoh jangka panjang.

"Perniagaan kami mencatatkan peningkatan jualan tahunan kira-kira 30 peratus dan dengan adanya sokongan pembiayaan daripada BSN Mikro-i Madani Nita, perniagaan De Doorgift House mampu merekodkan lonjakan jualan lebih 50 peratus," katanya.

SITI Nurul Atiqah Arifin (kanan) bersama Pengurusnya Mohd Azharri Zakaria (dua dari kanan) dan kakitangan mereka di bengkel Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Turut berkongsi pengalaman menerima bantuan pembiayaan, pengusaha Doyok Motor Services di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, Siti Nurul Atiqah Arifin berkata, syarikatnya berjaya mendapatkan pembiayaan maksimum sebanyak RM50,000 daripada BSN untuk meningkatkan operasi bengkel.

Memasuki tahun keenam perniagaan bengkel motosikalnya, kini pihaknya berjaya mengembangkan perniagaan dan menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke Doyok Motor Services.

"Pasaran motosikal kini semakin kompetitif dan dengan wang itu kami melabur semula ke dalam perniagaan bagi mempelbagaikan produk dan stok supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

"Ini bukan sahaja menarik lebih ramai pelanggan tetapi juga meningkatkan keyakinan mereka terhadap perkhidmatan yang ditawarkan," katanya yang mengusahakan bengkel itu bersama suami.

Beliau percaya bahawa inisiatif kerajaan amat penting bagi usahawan baru yang memerlukan modal untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.

"Bagi mereka yang baru membina perniagaan, pembiayaan seperti ini amat diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan saya sendiri pernah menghadapi cabaran apabila permohonan pinjaman saya pernah ditolak oleh bank.

"Namun, dengan bantuan ini, kami tidak hanya berjaya mendapatkan modal, tetapi juga mampu mempelbagaikan produk dan menambah stok, seterusnya menarik lebih banyak pelanggan serta menjana keuntungan," katanya.

Katanya, pembiayaan itu menjadi langkah awal untuk syarikat melangkah lebih jauh dalam perniagaan dan bersedia menghadapi masa depan cemerlang dalam industri motosikal.

AIN Nadia Kasikin, pengusaha makanan menunjukkan gerai jualannya di Econsave Tampin, Negeri Sembilan.

Sementara itu, pengusaha makanan Ain Nadia Kasikin turut bersyukur kerana berjaya mengembangkan perniagaannya dengan bantuan pembiayaan melalui BSN Mikro-i Madani Belia di bawah kerajaan Madani selepas lebih dua tahun bergiat dalam industri makanan.

Ain memulakan perniagaan pada 2021 dengan menjual pelbagai jenis hidangan di gerainya yang terletak di Econsave Tampin, Negeri Sembilan.

"Saya mendapat pembiayaan untuk memperluas perniagaan dan ia sangat membantu dari segi modal untuk mengembangkan lagi perniagaan.

"Skim ini sangat penting bagi usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan mereka tetapi berdepan kesukaran mendapatkan modal," katanya.

Dengan sokongan pembiayaan yang mudah tanpa birokrasi, Ain mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperluaskan operasi perniagaan serta memberi impak besar kepadanya dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan.

Menurutnya, inisiatif seperti ini amat diperlukan oleh usahawan dan selain pembiayaan, beliau berharap usahawan lain mendapat akses kepada latihan keusahawanan untuk membantu mereka menguruskan perniagaan dengan lebih berkesan dan sistematik.

Beliau yakin dengan adanya sokongan berterusan daripada kerajaan, ramai lagi usahawan kecil berpeluang mencapai kejayaan dalam jangka masa panjang.

Kesimpulannya, usaha kerajaan melalui SJPP dan pelbagai inisiatif pembiayaan termasuk melalui BSN sudah pasti menjadi titik tolak penting dalam perjalanan perniagaan ramai usahawan PKS di Malaysia.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, lebih banyak perniagaan berpotensi besar akan dapat terus maju dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Usahawan boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai inisiatif ini di https://www.sjpp.com.my/ms/soalan-lazim.

  

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1142425/sjpp-lonjak-potensi-usahawan)