Bernama Malay
7 October 2022
Dana Maritim, Logistik RM1 bilion beri manfaat kepada penggiat OGSE- MPRC
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Dana Pembiayaan Maritim dan Logistik sebanyak RM1 bilion yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2023 hari ini dijangka memanfaatkan penggiat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), menurut Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yazid Ja’afar berkata pembiayaan itu boleh dimanfaatkan penyedia perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) untuk tujuan pembinaan dan pembaikan bagi menyokong operasi minyak dan gas luar pesisir di seluruh negara.
“MPRC terlibat aktif dengan Persatuan Pemilik OSV Malaysia, Persatuan Industri Marin Malaysia dan Petronas untuk mengambil tahu mengenai isu kapal-kapal lama yang memerlukan pembinaan sehingga 100 kapal baharu, serta membaiki kapal-kapal sedia ada,” katanya mengulas mengenai pengumuman Bajet 2023.
Pengumuman itu dibuat selepas penggiat OGSE berdepan tempoh yang tidak menentu ketika pelaksanaan kawalan pergerakan pada 2020 hingga 2021 serta kelembapan aktiviti ekonomi oleh negara-negara utama akibat pandemik COVID-19, yang turut mengakibatkan kemerosotan harga minyak kerana permintaan global yang menyusut bagi hidrokarbon.
Mengenai skim jaminan pembiayaan sehingga RM9 bilion oleh Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP) kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana termasuk vendor minyak dan gas, Mohd Yazid berkata skim itu akan membolehkan syarikat OGSE tempatan menggunakan dana yang amat diperlukan terutamanya ketika pasca COVID-19 sehingga menyebabkan penggiat OGSE mengalami kekangan kewangan.
“Kami berharap institusi kewangan dan institusi kewangan pembangunan juga boleh memainkan peranan dalam penilaian risiko dan kredit berkaitan industri OGSE dan skim jaminan pembiayaan itu akan meningkatkan kelayakan lebih banyak syarikat OGSE untuk meraih dana bagi operasi mereka,” kata Mohd Yazid.
Selain itu, MPRC menyokong pengukuhan agenda kelestarian menerusi Bajet 2023 termasuk pengumuman mengenai pelancaran rangka kerja kemampanan oleh syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
“Kami optimis rangka kerja kemampanan ini akan berfungsi sebagai rujukan kepada Pelan Hala Tuju dan Rangka Kerja Kemampanan OGSE Kebangsaan yang akandibangunkan oleh MPRC pada 2023 dan 2024,” katanya.
-- BERNAMA
(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2127320)