Ultra Green Supplies
Image

Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Kenneth memulakan perniagaan ini dengan rakan kongsi yang lain pada tahun 2014, namun disebabkan oleh perbezaan pendapat dan hala tuju, perkongsian tersebut telah dibubarkan dan Kenneth mengambil alih syarikat ini pada tahun 2016. Keputusan itu dibuat kerana dia menpunyai pengalaman sebagai jurujual, dan juga latar belakang perakaunan. Ianya cukup mencabar di peringkat awal dan ada ketikanya kami hampir putus asa, tetapi akhirnya kami berjaya mengatasinya untuk meneruskan perniagaan.

Dengan perniagaan yang semakin berkembang, saya telah berhenti kerja sebagai eksekutif Sumber Manusia dari sebuah syarikat korporat pada awal tahun 2021 untuk membantu dan mengembangkan perniagaan ini. Kami memilih perniagaan ini kerana kelestariannya dan peluang-peluang yang sedia ada. Pelanggan utama kami adalah pengusaha-pengusaha makanan dan minuman, dan industri ini adalah keperluan bagi semua. Perniagaan utama kami adalah sebagai pengedar aksesori dapur, peralatan pembungkusan makanan dan produk pembersihan untuk restoran.

Bagaimanakah anda menghampiri dan mengekalkan pelanggan anda?
Kami sentiasa percaya bahawa membina dan mengekalkan hubungan yang baik secara bersemuka dengan pelanggan adalah pendekatan yang terbaik. Kami bukan hanya menjual produk tetapi cuba memahami keperluan mereka dan memberi nasihat mengikut keperluan mereka. Kami membantu mereka untuk membuat penjenamaan melalui pembungkusan untuk menarik pembeli kerana pembungkusan memainkan peranan penting dalam keputusan pembeli.

Melalui inisiatif yang telah dibuat, kami bersyukur kerana pelanggan-pelanggan tetap setia bersama kami, dan ada juga yang merujuk pelanggan-pelanggan lain kepada kami.

Dengan perkembangan pasaran e-dagang, kami juga telah menerapkan pendekatan digitalisasi di mana kami memanfaatkan penggunaan media sosial seperti ‘Facebook’ untuk memaparkan produk kami dan juga peristiwa harian untuk tujuan publisiti dan interaksi. Laman web kami juga kini sedang dinaiktarafkan dan merangkumi e-dagang agar sesuai dengan ‘trend’ semasa.

   Mr Kenneth memberi penghargaan kepada pekerjanya

"Kami yakin dan percaya bahawa pekerja adalah aset utama dan juga kunci kejayaan perniagaan kami"


Apakah pengalaman anda ketika pandemik COVID-19?
Saya masih bersama dengan syarikat terdahulu ketika pandemik COVID-19 bermula, namun saya kerap membantu perniagaan ini. Cabaran utama yang kami hadapi pada masa itu adalah kekurangan stok daripada pembekal kerana permintaan pembungkusan makanan telah meningkat secara mendadak. Mujurlah Kenneth mempunyai hubungan baik dengan pembekal. Oleh itu, dia berjaya mendapatkan stok daripada pembekal. Namun disebabkan permintaan yang semakin meningkat, kami tidak dapat memenuhi permintaan kesemua pelanggan-pelanggan kami dan terpaksa membahagikan stok kami di antara beberapa pelanggan supaya mereka dapat terus beroperasi dalam tempoh itu.


Selain itu, kami juga menghadapi masalah aliran tunai kerana pelanggan kami tidak dapat membuat pembayaran penuh kepada kami setelah barangan dihantar, dan pada masa yang sama pembekal kami pula meminta bayaran penuh daripada kami. Kami pernah terfikir untuk menyuruh pekerja-pekerja bercuti tanpa gaji atau megurangkan gaji mereka namun setelah pertimbangan, kami bersetuju untuk mengekalkan gaji mereka kerana kami tidak mahu semangat, emosi dan produktiviti mereka terjejas.

Kami yakin dan percaya bahawa pekerja-pekerja kami adalah aset utama dan juga kunci kejayaan perniagaan kami. Kami juga berjaya memperolehi pembiayaan daripada bank untuk mengekalkan aliran tunai perniagaan kami.

Sebelum pandemik, kami banyak menbekalkan peralatan makanan ke restoran-restoran namun permintaannya semakin berkurang setelah PKP dilaksanakan. Untuk terus bertahan di sepanjang pandemik ini, kami mula mempelbagaikan perniagaan kami dengan membekalkan produk yang mempunyai permintaan tinggi seperti pembersih tangan ‘sanitizer’, topeng dan alatan makanan.

Selain itu, kosnya dapat dikawal kerana Kenneth menpunyai kerjasama dengan pengilang pembersih tangan tersebut.

"Kami menrancang untuk membina kilang pembuatan sendiri di masa hadapan kerana kami berharap dapat membuat produk OEM sendiri"


Apakah rancangan anda untuk masa depan?
Perniagaan kami semakin berkembang, kami merancang untuk mengambil lagi lebih ramai pekerja, setara dengan pengembangan syarikat kami. Kami juga merancang untuk membuka kedai runcit untuk menjual produk yang diimport dari luar negara, dan kami juga berharap dapat meneroka peluang-peluang perniagaan dengan pembekal di China supaya dapat memenuhi permintaan tempatan.

Pada masa ini, terdapat 2 pengeluar sedang bekerjasama dengan kami di mana Kenneth juga merupakan salah satu pemegang saham. Dari situ, dia memperoleh pengetahuan dan juga pengalaman yang boleh membimbing kami untuk membina kilang pembuatan sendiri di masa depan. Kami berharap untuk menghasilkan produk OEM sendiri supaya kami dapat mengawal kos, kualiti dan pada masa yang sama mengekalkan kesediaan stok.

"Kejayaan adalah ditentukan oleh diri sendiri dan bukan orang lain"
  En. Kenneth bersama Pn. Janice, pemilik Ultra Green Supplies

Apakah nasihat anda kepada usahawan-usahawan baru?
Jangan hadkan diri anda dalam sebarang aspek, anda memerlukan sinergi yang betul jika anda ingin memulakan perniagaan baru. Rangkul cabaran baru, kuatkan semangat untuk belajar, berbuat baik kepada diri-sendiri dan juga orang di sekeliling anda. Bawa empati dan kebaikan anda kepada orang ramai.

Sentiasa lakukan yang terbaik dan jangan hanya mencuba, kerana ia hanyalah 50% daripada usaha anda. Sentiasa bersemangat dan bermotivasi dalam hidup anda, komited dengan apa sahaja yang anda lakukan dan jangan memaksa diri anda untuk melakukan perkara yang anda tidak suka kerana ia tidak akan memajukan diri anda. Kejayaan adalah ditentukan oleh diri sendiri dan bukan orang lain.