DIEM Duroil Sdn Bhd
Image

Boleh kongsikan latarbelakang perniagaan anda?
Pada tahun 1999, saya mempunyai sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembangunan laman sesawang. Selain itu kami juga mengadakan perkhidmatan pemasaran kepada para pelanggan seacara atas talian.

Pada awal tahun 2003, saya telah di ajukan soalan oleh rakan saya. Soalannya adalah mengapa membantu syarikat orang lain untuk menjual produk di atas talian dan mengapa tidak menggunakan teknik yang sama dan menjual produk sendiri?. Persoalan ini membuatkan saya tercabar lalu menubuhkan DIEM Duroil Sdn Bhd (DIEM Duroil) pada tahun yang sama.

Fokus utama DIEM Duroil adalah pembangunan, pembuatan dan pemasaran produk berasaskan herba dan produk tradisional bagi kecantikan semula jadi, minyak wangi, kesihatan dan kebersihan diri. Kami bersyukur kerana ada diantara produk kami telah memenangi anugerah inovasi di Malaysia dan luar negara. Hari ini, kami mempunyai kira-kira 35 produk dan sembilan produk kami telah memperolehi sijil Halal.

Apakah cabaran utama dalam perniagaan ini?
Cabaran utama dalam perniagaan ini adalah kekurangan modal. Selain daripada itu, misi dan visi yang kurang jelas juga memberi impak kepada halatuju perniagaan. Untuk itu, kami menyediakan Pernyataan Misi perniagaan yang merangkumi kepentingan pelanggan dan cara bagaimana kami boleh membantu pelanggan kami, ianya membolehkan setiap individu dalam DIEM Duroil mencapai misi ini.

Bagaimana anda mempromosikan produk anda?
Organisasi seperti Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) banyak membantu kami dalam usaha memperkenalkan produk kami ke pasaran global. Kami menyertai acara-acara perdagangan anjuran MATRADE. Selain itu, kami juga mempromosikan produk kami melalui laman sesawang kami, platform e-dagang, Facebook dan sebagainya.

Bagaimanakah caranya DIEM Duroil memastikan pelanggan sedia ada kekal setia?
DIEM Duroil amat mementingkan kepuasan pelanggan bermula dari semasa mereka mahu mendapatkan informasi mengenai produk kami, pembelian, penerimaan, penggunaan produk dan perkhidmatan selepas jualan. Selain itu, kami juga memberi nilai tambah kepada para pelanggan dengan memastikan pelanggan tidak tertipu semasa membuat pembelian produk kami secara atas talian.

Kini, Produk DIEM Duroil dijual di seluruh dunia. Antara pasaran di mana produk kami dieksportkan adalah di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Nepal. Kami mempunyai pelan strategik yang jelas untuk mengembangkan perniagaan kami.

Nasihat kepada bakal usahawan?
Sediakan perancangan yang baik dengan menggunakan Kanvas Model Perniagaan (BMC). Kedua, fokus kepada peluang perniagaan yang boleh memberikan hasil kepada syarikat. Ketiga, apabila pasaran tidak menentu, cari peluang terbaik untuk terus maju ke hadapan melalui perancangan yang jelas.