Tridimas Sdn Bhd

Tridimas Sdn Bhd

Perkhidmatan dan pengurusan pelanggan yang berkualiti tinggi boleh mewujudkan kesetiaan para pelanggan.

Pelanggan bukan sahaja berminat dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, malah unsur perkhidmatan tambahan yang diterima sebelum dan selepas jualan memainkan peranan penting bagi mencapai kepuasan maksima.

Pelanggan akan berpuas hati jika perkhidmatan yang diberikan dengan cepat, tiada kesilapan, mudah diperolehi, tidak membebankan pelanggan dan disertai dengan layanan yang mesra serta bersopan. Ikuti temubual bersama Encik Rozaidi Ismail, Pengarah Urusan Tridimas Sdn Bhd berkongsi pengalamannya.

Boleh kongsikan latarbelakang perniagaan anda?
Tridmas Sdn Bhd (Tridimas) memulakan operasi perniagaan pada tahun 2004 sebagai sebuah syarikat yang menyediakan penyelesaian berkaitan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT), di Shah Alam, Selangor.

Saya mempunyai latarbelakang ICT, memulakan perniagaan dengan usahasama dengan beberapa syarikat rakan kongsi bagi membolehkan Tridimas memanfaatkan pengalaman dan rekod perniagaan mereka agar dapat memperoleh projek-projek bersaiz sederhana dan besar dari pelbagai sektor.

Semasa memulakan perniagaan, Tridimas terlibat dalam bidang integrasi sistem (system integrator), di mana kami membeli produk-produk IT jenama luar, antaranya dari Amerika Syarikat (AS) dan China. Kemudian, kami membuat pemasangan dan terlibat dalam penyelenggaraan produk-produk tersebut.

Untuk makluman, kami mempunyai 15 kakitangan sepenuh masa. Kami turut mengambil tenaga kerja mengikut kemahiran dan kepakaran yang diperlukan.

“Pelanggan akan berpuas hati jika perkhidmatan yang diberikan dengan cepat, tiada kesilapan, mudah diperolehi, tidak membebankan pelanggan dan disertai dengan layanan yang mesra serta bersopan”

Apakah cabaran utama dalam perniagaan ini?
Rantaian penawaran global (global supply chain) yang agak perlahan menyebabkan delivery time agak terjejas, dan kami perlu menguruskan hal ini dengan seberapa pantas agar pelanggan sedia ada masih berpuas hati dengan perkhidmatan kami.

Pusingan modal kerja yang terhad juga menjadi faktor utama. Pemain industri pasti memahami keperluan kewangan untuk mengeluarkan modal pendahuluan untuk membeli produk yang diperlukan dan membuat pemasangan seperti yang diminta pelanggan.

Pembayaran hanya akan diperoleh selepas kerja-kerja disiapkan. Bayangkan jika kami mendapat projek besar, dan memerlukan modal yang besar.

Untuk menolak projek ini adalah sangat merugikan. Jadi, pusingan modal kerja adalah sangat mencabar.

Selain daripada itu, kadar tukaran wang asing jugak menjadi faktor. Sebagai contoh, produk yang dibeli adalah dari AS dan China. Sekiranya nilai ringgit jatuh, ianya akan memberi kesan kepada kewangan dan pendapatan syarikat.

Bagaimanakah caranya Tridimas memastikan pelanggan sedia ada kekal setia?
Setakat ini, pelanggan kami adalah terdiri daripada campuran sektor kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta. Ini membolehkan kami mengurangkan kebergantungan sumber pendapatan melalui sektor kerajaan semata-mata.

Hubungan bersama para pelanggan sangat penting, sentiasa mengunjungi para pelanggan bagi memastikan hubungan baik terus terpelihara selain memastikan mereka berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan kami. Hubungan yang baik dengan pelanggan banyak membantu kami.

Sebagai contoh, kami mengetahui halatuju syarikat para pelanggan kami, dan semestinya kami akan memberi cadangan yang bersesuaian dan berkaitan.

Selain itu, kami juga sentiasa menganalisa keperluan semasa para pelanggan, bagi memastikan kami bergerak seiring dengan teknologi. Jika ada sebarang perubahan teknologi yang mungkin diperlukan oleh para pelanggan, kami akan memberi cadangan kepada mereka. Jika tidak, kami percaya pesaing lain akan menghantar kertas cadangan, dan ianya pasti merugikan Tridimas.

Apakah perancangan masa depan Tridimas?
Kami mahu mempelbagaikan cabang perniagaan dalam bidang ICT. Seperti sedia maklum, cabang perniagaan ICT ini amat luas, antaranya adalah perkhidmatan infrastruktur rangkaian dan sekuriti, pembangunan aplikasi, integrasi sistem dan macam macam lagi.

Ini adalah antara peluang yang berpotensi untuk diceburi.

Nasihat kepada bakal usahawan?
Yang pertama, pastikan anda mempunyai pengetahuan dalam bidang/ industri perniagaan yang ingin diceburi. Selain itu pastikan anda sentiasa belajar dengan orang sekitar dan juga menghadiri kursus berkaitan. Sebab, saya yakin pengetahuan dan belajar melalui pengalaman orang lain adalah kunci kejayaan.

Kemudian anda mestilah mempunyai daya tahan yang tinggi, kerana apabila anda mulakan perniagaan, cabaran dan dugaan adalah amat tinggi.

   Rozaidi bersama kakitangan Tridimas