Miniso (M) Sdn Bhd

Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Pengalaman saya adalah dalam industri M&E selama hampir 30 tahun. Suatu hari, saya berjumpa dengan seorang kawan lama saya yang merupakan pemilik francais utama Miniso di China. Dia lah yang meyakinkan saya untuk memulakan perniagaan ini. Jadi pada Januari 2016, kami membuka kedai pertama kami di IOI City Mall. Sejak dari itu, kami berkembang dengan pesat dan sekarang kami mempunyai 37 cawangan di Malaysia.

Apakah yang mendorong anda untuk mencuba perniagaan baru?
Pertama sekali, ia adalah kerana pengaruh kawan saya. Kedua, produk-produk Miniso adalah produk gaya hidup yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Selain itu, model perniagaan ini adalah berdasarkan jualan secara tunai dan oleh itu saya tidak perlu risau akan isu hutang lapuk.

Apakah keunikan produk anda?
Semestinya kualiti yang bagus, harga yang berpatutan dan pembungkusan yang menarik. Jika anda bandingkan produk bernilai RM10 di pasar malam dan produk Miniso, anda akan mendapati produk Miniso mempunyai kualiti yang lebih baik.

Bagaimanakah cara anda mempromosikan produk?
Kami perlu mengikuti perkembangan digital dan secara ‘online’. Anak perempuan saya bertanggungjawab untuk menguruskan pemasaran di Facebook dan pada bulan Mac ini, kami akan melancarkan e-dagang di platform Shopee. Unit pemasaran kami terdiri daripada anak-anak muda yang bijak dengan teknologi terkini.

Apakah yang membuatkan perniagaan anda kukuh?
Kami perlu memastikan pengurusan aliran tunai yang baik dan stok yang mencukupi. Selain itu, kami juga memiliki lori-lori sendiri bagi memastikan penghantaran yang lebih efisien. Apa yang paling penting adalah kami mempunyai kakitangan-kakitangan yang berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugas.

“Dalam perniagaan ini, bayaran tunai mesti diselesaikan terdahulu sebelum penghantaran stok...”
   Encik Lee dan para perkerja yang beroperasi dari ibu pejabat mereka di Seri Kembangan


Apakah perkara sukar yang dihadapai ketika memulakan perniagaan?
Ketika saya memulakan perniagaan ini, saya cuba mempraktikkan pengalaman saya yang lepas kerana saya tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam bidang perniagaan runcit. Saya bekerja keras untuk membina imej dan kepercayaan dari semua pihak untuk menjalankan urusan dengan kami.

Apakah perancangan masa depan untuk Miniso Malaysia?
Kami merancang untuk membuka 30 cawangan lain termasuk di bandar-bandar kecil seperti Muar dan Segamat.