Bagaimanakah anda memulakan perniagaan ini?
Saya mula menjual keropok lekor sebagai penjaja di pasar malam di kampung saya yang terletak di Pahang bersama abang saya. Selepas beberapa tahun, kami memutuskan untuk membuat keropok lekor sendiri, dan saya mula belajar dengan mengikuti kursus anjuran MARDI di Terengganu.
Produk kami menerima sambutan yang baik daripada para pelanggan. Justeru, saya membuat keputusan untuk mengembangkan perniagaan dan saya berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari lebih banyak peluang perniagaan. Dari situ, saya mula mengembangkan perniagaan daripada peniaga kecil sehingga apa yang telah saya capai hari ini.
“Sahut cabaran anda dan ubah ia menjadi sinergi yang positif”
|
Apakah kekuatan syarikat anda?
Pada masa ini, kami mempunyai enam jenis keropok lekor, di antaranya adalah, ‘Original’, ‘Crispy’, ‘Crispy King’ (produk terlaris), Batang Besar dan Petak. Sebelum ini, kami mempunyai keropok lekor durian, namun disebabkan durian adalah buah yang bermusim, jadi kami hanya dapat menjualnya pada musim tertentu dan juga kepada pelanggan yang membuat tempahan awal sahaja.
Para pelanggan meminati keropok kami kerana ianya rangup di luar dan lembut di dalam. Untuk membuat keropok lekor yang lembut, kita perlu menggunakan ikan yang segar, dan pada masa yang sama adunan bahan mestilah tepat.
Apakah pengalaman anda ketika pandemik COVID-19?
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya beroperasi separuh masa daripada jumlah operasi sebelum tempoh pandemik, menyebabkan hasil jualan kami menurun. Ketika perniagaan kami beransur pulih, kami menghadapi masalah kekurangan buruh pula kerana kebanyakan pekerja kami adalah pekerja asing yang telah pulang ke negara masing-masing ketika PKP dilaksanakan. Ianya mengakibatkan permintaan pelanggan tidak dapat dipenuhi.
Selain itu, kami juga sedang dalam proses perbincangan untuk membeli mesin dari China bagi meningkatkan pengeluaran dan pada masa yang sama dapat mengatasi isu kekurangan buruh. Namun, prosesnya telah ditangguh disebabkan pandemik dan kami berharap akan dapat memuktamadkan pembelian dengan segera.
Apakah nasihat anda kepada usahawan-usahawan baru?
Nasihat saya untuk usahawan baru adalah mulakanlah dengan modal yang kecil, gunakannya dengan bijak dengan manfaatkan daripada modal tersebut. Selain itu, adalah penting juga untuk melatih dan membangunkan pekerja-pekerja anda serta merebut peluang perniagaan pada masa yang sesuai. Anda akan menghadapi tekanan dan cabaran yang baru setiap hari, terima dan ubahnya menjadi sinergi yang positif untuk memacu perniagaan anda lebih jauh.
Produk-produk keluaran Nurtihah Enterprise |
Apakah rancangan masa depan untuk Nurtihah Enterprise?
Kami akan melabur dalam mesin kerana pengeluaran daripada mesin dapat ditingkatkan dengan menggunakan kos yang lebih rendah dan pada masa yang sama dapat menyelesaikan isu kekurangan buruh. Selain itu, kami juga berharap untuk menambah lebih banyak perisa pada produk kami dan salah satunya adalah perisa keju kerana ia boleh dipadankan dengan sempurna dengan keropok lekor.
Buat masa ini, produk kami hanya diedarkan ke Pasar Besar Chow Kit (KL) dan Pasar Borong Selayang. Kami merancang untuk mengedar ke negeri lain untuk perkembangan perniagaan kami.