Memulakan, membina dan memastikan perniagaan sentiasa berdaya saing dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang seiring dengan peredaran masa bukanlah satu perkara yang mudah. Hakikatnya, jika takut menempuh cabaran, kejayaan sukar dikecapi. Ikuti temubual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Map2u Sdn Bhd (Map2u), Dato’ Azhar Ismail yang sedia berkongsi pengalaman.
Boleh kongsikan latarbelakang perniagaan anda?
Map2u telah ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bas pelancongan kepada para pelancong. Walaubagaimanapun, rezeki untuk mengendalikan bas pelancongan terhenti apabila satu-satunya bas milik kami dicuri.
Rentetan daripada itu, saya sedar saya seharusnya mencari peluang perniagaan lain. Saya mula bertemu rakan-rakan yang mempunyai perniagaan dan latarbelakang berkaitan dengan teknologi.
Pada tahun 2014, Map2u bekerjasama dengan syarikat sedia ada di pasaran yang telah mempunyai rekod kewangan. Jadi, kelebihan ini membolehkan kami mendapatkan peluang perniagaan, terutama dari sektor kerajaan.
“Kami sentiasa berusaha untuk memindahkan kepakaran dari segi pengetahuan kepada para pelanggan, agar mereka memperoleh nilai tambah dari produk dan perkhidmatan yang disediakan Map2u”
|
Kini, Map2u merupakan organisasi yang menyediakan perkhidmatan yang pelbagai berkaitan perkhidmatan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan pembangunan perisian (software development).
Kami percaya bahawa kami mampu mengerakkan industri berkaitan di Malaysia dan mampu mengubah keperluan pengguna yang semakin bertambah melalui pembangunan geospatial.
Map2u akan terus fokus dalam bidang teknologi dengan mengembeling kepakaran dan pengalaman kami bagi mencipta inovasi, seterusnya mencapai visi kami dalam penciptaan nilai tambah kepada para pelanggan, industri dan masyarakat.
Map2u menyediakan Latihan dan kursus berterusan untuk meningkatkan nilai tambah dan kemahiran |
Sebagai sebuah syarikat berteraskan teknologi, bagaimanakah Map2u memastikan kakitangan berkaitan memperlengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan teknologi terkini?
Di Map2u, kami sentiasa menerapkan budaya kerja cemerlang (high-performance culture). Jadi, saya sentiasa menggalakkan kakitangan untuk mempunyai keinginan untuk terus belajar dengan membuka peluang untuk mereka mengambil program khas atau kursus berkaitan, selain memberi ruang untuk mereka berkembang sebagai pakar teknologi dalam industri.
Selain itu, kami juga menggunakan konsep terbuka, dimana setiap kakitangan diberi peluang untuk berkembang dan meneroka peluang perniagaan berkaitan. Kami juga sentiasa berkongsi rezeki pendapatan yang diperoleh dari segi bonus dan sebagainya.
Apakah keunikan dan kekuatan Map2u?
Selain memperkenalkan teknologi terkini kepada para pelanggan, kami juga sentiasa berusaha untuk memindahkan kepakaran dari segi pengetahuan kepada para pelanggan, agar mereka memperoleh nilai tambah dari produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh Map2u.
Sebagai pemain industri, kami juga dapat memberikan impak positif kepada pelanggan, dan secara tidak langsung ianya memudahkan kami memperkenalkan produk dan perkhidmatan kami yang terbaru seperti menaiktaraf sistem sedia ada.
Apakah perancangan masa depan Map2u?
Kami berhasrat untuk menyediakan khidmat nasihat professional sehingga ke peringkat global dengan menawarkan kepakaran kami ke negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Filipina, Kemboja, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.
Kami juga sedang merancang untuk menyenaraikan Map2u di Pasaran Utama.
Untuk itu, kami perlu fokus dengan produk consumer based technology. Jadi, kami telah mewujudkan satu pasukan khas (solution design team) yang bertanggungjawab untuk membuat kajian dan jangkaan masa depan, seterusnya menyediakan kertas cadangan potensi jenis perkhidmatan yang boleh ditawarkan.
Dapatan dari kajian ini, kami merancang untuk menyediakan perkhidmatan smart inspection solution bagi kegunaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, kami juga berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan teknologi bagi industri penjagaan kesihatan.
Nasihat kepada bakal usahawan?
Sebagai seorang usahawan, anda mestilah sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.
Sentiasa ikhlas bekerja, dan berusaha untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Selain itu, sentiasalah berkongsi rezeki melalui amalan bersedekah. Saya yakin, dengan bersedekah, rezeki akan lebih berlipat ganda.
Map2u berhasrat untuk menyediakan khidmat nasihat professional sehingga ke peringkat global |