Berita Harian
14 April 2009
Oleh Johari Ibrahim, Saufi Hamzah dan Kamarulzaidi Kamis
HATI-HATI LULUS DANA
Bank kena selidik rekod syarikat mohon skim jaminan modal RM10 bilion: PM
PUTRAJAYA: Institusi kewangan diingatkan jangan memberikan pembiayaan sewenang-wenangnya melalui Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri bernilai RM10 bilion yang diperuntukkan kerajaan dalam pakej rangsangan kedua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, berkata walaupun wujud jaminan kerajaan, ia tidak bermakna institusi kewangan boleh bersikap lepas tangan dan memberikan pinjaman kepada mana-mana syarikat yang memohon.
"Institusi kewangan masih perlu mengikut prosedur sewajarnya dan berwaspada bagi memastikan syarikat menerima pembiayaan yang benar-benar diperlukan, diuruskan dengan baik dan berdaya maju," katanya berucap pada majlis memeterai perjanjian bagi menawarkan dua skim itu di sini semalam.
Sebanyak 44 institusi kewangan tempatan dan asing di negara ini memeterai perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, yang akan beroperasi Khamis ini.
Dua skim, yang penubuhannya diumumkan ketika pembentangan pakej rangsangan ekonomi kedua pada 10 Mac lalu, bertujuan meningkatkan akses syarikat tempatan kepada pembiayaan serta membantu mereka meningkatkan produktiviti dan nilai ditambah lebih tinggi.
Skim Jaminan Modal Kerja membolehkan syarikat berdaftar milik Malaysia dari semua sektor dengan ekuiti pemegang saham kurang RM20 juta mendapatkan pinjaman antara RM50,000 hingga RM10 juta untuk menjalankan operasi perniagaan dengan jaminan kerajaan sehingga 80 peratus pinjaman.
Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri pula adalah pembiayaan antara RM50,000 hingga RM50 juta untuk menggalakkan pelaburan bagi peningkatan produktiviti, aktiviti nilai tambah dan penggunaan teknologi hijau.
Di bawah skim itu, syarikat berdaftar milik Malaysia dengan ekuiti pemegang saham kurang RM20 juta dijamin 80 peratus pembiayaan oleh kerajaan, manakala syarikat dengan ekuiti pemegang saham melebihi RM20 juta akan mendapat jaminan 50 peratus. Walaupun belum beroperasi, SJPP sudah menerima permohonan jaminan berjumlah RM600 juta daripada institusi kewangan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan termeterai perjanjian itu, tiada sebab institusi kewangan untuk terus bimbang dalam mengeluarkan pinjaman kerana sebahagian besar risikonya akan dikongsi dengan kerajaan menerusi dua skim jaminan pembiayaan.
"Saya berharap mulai 16 April ini, syarikat berdaya maju termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan memperoleh pembiayaan yang diperlukan daripada institusi kewangan," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan ketua 44 institusi kewangan berkenaan.
Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, syarikat perbankan dilarang mendapatkan jaminan bagi kemudahan membiayai semula pinjaman kerana ia adalah aktiviti pemindahan risiko daripada institusi kewangan kepada kerajaan.
"Institusi kewangan perlu peka terhadap hasrat kerajaan dalam mewujudkan skim terbabit. Syarikat yang tidak berdaya maju dan tidak memenuhi kriteria pinjaman, tidak seharusnya mendapat kemudahan itu.
"Syarikat yang sememangnya masih boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan dengan kaedah biasa tanpa jaminan juga, tidak layak diterima di bawah skim itu," katanya.
Beliau berkata, institusi kewangan sepatutnya memberikan kemudahan pembiayaan kepada semua sektor dan bukan hanya kepada sektor yang dijamin oleh kerajaan atau yang mempunyai cagaran seratus peratus.
"Institusi kewangan mestilah bersedia untuk mengambil risiko yang sudah dihitung dan tidak bersikap terlalu konservatif dengan hanya membiayai apabila wujud cagaran atau jaminan," katanya.
Najib berkata, bagi memastikan keberkesanan, pihak berkuasa seperti Bank Negara, SJPP dan Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan, akan sentiasa mengawasi tindak-tanduk institusi kewangan dalam melaksanakan skim itu.