Berita Harian
9 Mac 2023
MBSB Bank buka cawangan di Kota Bharu
Azlan (tengah) merasmikan MBSB Bank cawangan Kota Bharu - Foto ihsan MBSB Bank
KOTA BHARU: MBSB Bank Bhd hari ini secara rasmi membuka cawangan di sini yang terletak di Jalan Sultan Yahya Petra.
Ketua Pegawai Strategi MBSB Bank, Datuk Azlan Shahrim, berkata pembukaan cawangan Kota Bharu adalah penting bagi bank itu kerana di sebalik kebangkitan perbankan digital, masih terdapat pelanggan yang memilih untuk menguruskan kewangan mereka secara interaksi bersemuka terutamanya transaksi yang memerlukan khidmat nasihat terperinci.
"Dengan pembukaan cawangan ini juga, pelanggan boleh mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai Akaun Simpanan Primewin-i dan juga Akaun Semasa Primewin-i yang memberi peluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik termasuklah wang tunai, kereta mewah, pakej percutian dan banyak lagi melalui penganjuran kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0' yang sedang berlangsung sehingga 31 Mei 2023," katanya dalam satu kenyataan.
Cawangan baharu itu juga berfungsi sebagai pusat tumpuan akan keberadaan MBSB Bank dalam kalangan komuniti setempat di Kota Bharu.
MBSB Bank sentiasa komited untuk berkhidmat kepada masyarakat bukan sahaja menerusi produk-produk perbankan, tetapi juga menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat.
Pada Disember 2022, MBSB Bank telah menyalurkan sumbangan makanan asas melalui Program 'Box of Care' kepada 300 orang penduduk di PPR Kota Bharu.
Manakala, pada Januari lalu, sumbangan 'Box of Care' turut disampaikan kepada 150 orang mangsa banjir di daerah-daerah Kota Bharu, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
MBSB Bank turut menawarkan Pembiayaan Peribadi-i dengan jumlah pembiayaan sehingga ke RM400,000 dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
Manakala, produk Deposit Bertempoh-i menawarkan kadar yang sangat kompetitif sehingga 4.30 peratus setahun.
Usahawan perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga boleh memanfaatkan pembiayaan perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi dan modal kerja yang ditawarkan oleh MBSB Bank.
Selain itu, menerusi MBSB Bank, pengusaha PKS juga boleh memohon Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) oleh Syarikat Jaminan Pembayaran Perniagaan Bhd (SJPP) yang menyediakan pembiayaan baharu, kemudahan pembiayaan sedia dan lanjutan tempoh pembiayaan, serta modal kerja tambahan bagi menggiatkan semula perniagaan.
(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2023/03/1074610/mbsb-bank-buka-cawangan-di-kota-bharu)