Berita RTM
26 September 2022
Bajet 2023: Fokus tambah baik daya saing dan daya tahan sektor PMKS – Zafrul
KUALA LUMPUR, 26 September - Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan berdepan pelbagai cabaran global pada suku keempat tahun ini dan tahun 2023.
Ini berikutan perang di Ukraine yang berterusan, prinsip COVID-sifar China serta pendekatan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dalam menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi dan gangguan rantaian bekalan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata menyedari hakikat tersebut beliau menyeru pemudah cara sektor perniagaan untuk terus membantu PMKS agar kekal bertahan dan bangkit semula.
(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)
"Sebagai pemudah cara sektor perniagaan, agensi seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) harus bersiap sedia bagi terus membantu PMKS dalam mempertahankan pemulihan yang telah dicapai pasca pandemik.
"Walau apa cabaran sekalipun, seperti yang telah terbukti semasa zaman pandemik, InsyaAllah kita akan capai keberhasilan positif melalui usahasama kita membantu sektor perniagaan bertahan dan bangkit semula," katanya ketika berucap menyaksikan pemeteraian perjanjian antara CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB), Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), di sini.
Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 juga akan terus memberi fokus kepada sektor PMKS.
"Bajet 2023 juga akan memberi tumpuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan dan daya saing yang tinggi melalui penerapan teknologi yang inovatif, serta menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan PMKS negara kita," katanya.