Bajet 2023 paling baik sejak 2018 - Asyraf Wajdi

Berita Harian

8 Oktober 2022

Bajet 2023 paling baik sejak 2018 - Asyraf Wajdi

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang dibentangkan semalam disifatkan sebagai bajet paling baik sejak 2018, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, menerusi bajet itu terdapat pelbagai bantuan di pelbagai peringkat sehingga pendapatan mencecah RM5,000.

"Walaupun saya beranggapan masih ada ruang penambahbaikan, tetapi secara keseluruhan bajet kali ini adalah yang paling baik sejak 2018.

"Bagi golongan B40 terdapat pelbagai bantuan tunai sehingga pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan. Jumlah bantuan ini mencecah RM10 bilion.

"Untuk M40 pula, cukai pendapatan dikurangkan sebanyak dua peratus dan semua ini boleh menyuntik lebihan tunai yang akan dikembalikan ke dalam pasaran negara tahun hadapan.

"Kredit Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) diperkasakan semula dengan nilai RM9 bilion setahun. Ia memudahkan perniagaan bermasalah mendapat pinjaman bank, sekali gus memastikan mereka terus berdaya saing," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook

Beliau berkata, kerajaan juga menambah bantuan tunai kepada nelayan, bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan bantuan sara diri kepada pesawah padi.

"Ini juga asalnya insentif kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang dipotong bermula pada zaman Pakatan Harapan (PH). Alhamdulillah, ia dikembalikan semula kali ini.

"Bantuan ini sangat penting kerana terbukti berjaya meningkatkan hasil pertanian dan pengeluaran makanan negara. Bantuan tunai kepada nelayan contohnya dimulakan pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006 dan lima tahun selepas itu tangkapan ikan negara melebihi keperluan dalam negara buat kali pertama dalam sejarah," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, bajet kali ini juga agak baik kerana mengurangkan penggantungan kepada dividen PETRONAS iaitu hasil dividen PETRONAS kepada kerajaan tahun hadapan adalah hanya RM35 bilion berbanding RM50 bilion pada tahun ini.

"Perkara ini amat positif selepas rizab PETRONAS dijarah pada zaman PH dan Perikatan Nasional (PN).

"Sedangkan pada zaman BN dahulu pelbagai langkah diambil bagi mengurangkan penggantungan kerajaan kepada hasil minyak.

"Dividen PETRONAS kepada kerajaan hanyalah RM16 bilion bagi 2016 dan 2017. Ia kemudiannya melonjak kepada RM54 bilion pada zaman PH (2019) sehingga menyebabkan rizab PETRONAS susut dan penarafan syarikat menurun," katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=_uJxxfENxHE

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1009835/bajet-2023-paling-baik-sejak-2018-asyraf-wajdi)