Berita Harian
27 July 2021
Bantuan pastikan perniagaan pulih sebaik ekonomi stabil
Bantuan kepada perniagaan merangkumi lima bidang utama iaitu bantuan kewangan, cukai, pekerjaan, pendigitalan, subsidi dan pengecualian/pelepasan. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dan prihatin dalam memastikan kelangsungan perniagaan di negara ini dengan menyediakan bantuan sokongan perniagaan menyeluruh dalam mendepani cabaran dicetuskan langkah membendung penularan COVID-19.
Bantuan yang disediakan kerajaan dalam pakej bantuan dan rangsangan ekonomi setakat ini bukan saja bersifat jangka pendek tetapi juga untuk menyokong perniagaan pasca COVID-19.
Setakat ini, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion dilaksanakan kerajaan dan ia dirangka mengikut keperluan dan perkembangan situasi semasa ketika ia dilancarkan, di samping saling melengkapi antara satu sama lain.
Justeru, adalah wajar untuk melihat setiap pakej bantuan dan ekonomi yang dilaksanakan itu secara bersama dan ia bukan terasing antara satu sama lain.
Bantuan kepada perniagaan merangkumi lima bidang utama iaitu bantuan kewangan, cukai, pekerjaan, pendigitalan, subsidi dan pengecualian/pelepasan.
Tumpuan bantuan yang disediakan Malaysia itu juga adalah sejajar dengan pelaksanaan di negara lain seperti di Singapura, China, Korea Selatan, New Zealand dan United Kingdom.
Bantuan perniagaan yang disediakan itu turut merangkumi bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro dalam menguruskan aliran tunai mereka.
Antara inisiatif yang diperkenalkan adalah moratorium pinjaman, subsidi upah dan insentif penggajian mengekalkan pekerja dan kapasiti syarikat, geran bantuan pinjaman dan jaminan pembiayaan.
Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican. - Foto NSTP
Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata bantuan yang disediakan untuk perniagaan adalah menyeluruh untuk memastikan kelangsungan perniagaan di tengah-tengah persekitaran mencabar dicetuskan COVID-19.
Beliau berkata, bantuan kepada perniagaan adalah untuk mengekalkan pekerja dan kapasiti supaya perniagaan boleh pulih dengan pantas sebaik saja ekonomi pulih.
Katanya, sejak tahun lalu, lebih RM15 bilion disalurkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) bagi membantu kelangsungan perniagaan dan menjamin pekerjaan.
"Saya rasa tidak pernah dalam sejarah Malaysia, kerajaan menyediakan geran atau bantuan kepada sektor perniagaan sebesar ini," katanya dalam satu temubual secara maya baru-baru ini.
Johan berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga turut menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS, yang mana ia adalah satu keunikan yang dilakukan Malaysia dalam membantu PKS dalam mendepani cabaran pandemik.
Beliau berkata, setakat ini, bank pusat itu telah memperuntukkan RM27 bilion untuk memenuhi keperluan pembiayaan PKS, yang mana masih ada baki lebih RM8 bilion lagi belum digunakan.
"Diharapkan dana ini dapat memenuhi pelbagai keperluan PKS dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka," katanya.
Keprihatinan kerajaan beri kelegaan kepada usahawan
Bantuan yang disediakan kerajaan dalam pakej bantuan dan rangsangan ekonomi mampu memberi kelegaan kepada tekanan aliran tunai yang dihadapi peniaga, demikian kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi cabaran kepada perniagaan dari segi pendapatan mereka.
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid. - Foto NSTP
Beliau berkata, perniagaan tidak kira kecil atau besar akan mempunyai kos tetap dan kos berubah dalam menjalankan perniagaan, dengan antara kos tetap yang ditanggung seperti sewa premis perniagaan, gaji pekerja dan pembayaran pembiayaan perniagaan.
Justeru, katanya, apabila berlaku kehilangan kutipan hasil jualan, ia akan memberi tekanan kepada sesebuah perniagaan disebabkan kos tetap yang masih perlu dibayar.
"Sehubungan itu, bantuan kerajaan seperti moratorium bayaran pinjaman bank, subsidi upah, geran perniagaan serta kelonggaran untuk melunaskan bayaran berkanun seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai seharusnya dapat memberi sedikit kelegaan kepada peniaga untuk berhadapan dengan pandemik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada BH bagi mengulas mengenai bantuan yang diberikan kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan meskipun berdepan cabaran dicetuskan pandemik.
Dalam berdepan situasi pandemik yang masih tidak pasti bila akan berakhir dan bila pula kegiatan ekonomi akan dapat dibuka sepenuhnya, Mohd Afzanizam berkata, peniaga disaran untuk sentiasa cakna mengenai bantuan yang disediakan kerajaan itu.
Beliau berkata, peniaga juga perlu sentiasa mengemaskini maklumat mengenai bantuan yang diberikan dengan melayari laman web agensi kerajaan yang berkenaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Pembangunan, Bank Simpanan Nasional dan Bank Negara Malaysia.
Selain itu, katanya, sekiranya perniagaan mereka mempunyai persatuan, maka gunakanlah platform itu untuk berbincang dan berdialog sesama ahli untuk mencari jalan penyelesaian.
"Umumnya, peniaga perlu sentiasa proaktif dalam usaha untuk mengurangkan kesan pandemik kepada perniagaan mereka. Tidak kurang juga mereka perlu mencari ruang atau peluang untuk memajukan perniagaan terutama dari sudut persediaan apabila ekonomi mula dibuka secara beransur-ansur," katanya.
Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pakej rangsangan yang diumumkan setakat ini sangat membantu kepada perniagaan.
Namun, beliau berkata, masih banyak lagi ketidakpastian pada masa depan yang akan menjejaskan peniaga dan perniagaan mereka.
Oleh itu, katanya, adalah penting untuk kerajaan merencana dasar ekonomi yang berbentuk jangka sederhana dan khusus kepada sektor tertentu.
(Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/843725/bantuan-pastikan-perniagaan-pulih-sebaik-ekonomi-stabil)