Belanjawan 2023: Perkasa PKS dan PMKS jaminan biaya sehingga RM40 bilion

Berita RTM

24 February 2023

Belanjawan 2023: Perkasa PKS dan PMKS jaminan biaya sehingga RM40 bilion

KUALA LUMPUR, 24 Februari - Belanjawan Madani akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membabitkan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.

Merangkumi jumlah itu, jaminan pembiayaan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) tersedia sehingga RM20 bilion dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan kerajaan sehingga 90 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA)

"Pentadbiran ini memahami masih banyak peniaga yang terkesan dengan pandemik lalu terutamanya PMKS.

"Belanjawan Madani akan memastikan PMKS tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan mereka. Pelbagai kemudahan termasuk potongan cukai dan dana pembiayaan disediakan bagi membantu peniaga." katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyediakan hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

Selain itu, katanya kemudahan pinjaman di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) juga akan disediakan membabitkan jumlah RM1 bilion yang akan menyokong PKS mikro dan penjaja.

"BNM menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.

"Tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan," katanya.

Anwar berkata, bagi menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan sejumlah RM100 juta disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil.

"Geran padanan sehingga RM5,000 ringgit akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori.

"Sejumlah RM1 bilion ringgit juga tersedia sebagai dana pembiayaan di bawah BNM untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi," katanya.

 

(Web source: https://berita.rtm.gov.my/index.php/ekonomi/58013-belanjawan-2023-perkasa-pks-dan-pmks-jaminan-biaya-sehingga-rm40-bilion