Harian Metro
24 Februari 2023
Belanjawan 2023: Tiga kemudahan bantu peniaga PMKS
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan tiga kemudahan bagi membantu peniaga yang terkesan dengan pandemik lalu terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan PMKS tempatan terus berdaya saing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kemudahan yang pertama ialah kerjaan menurunkan kadar cukai sebanyak dua peratus terhadap PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 150,000 pertama daripada 17 peratus kepada 15 peratus pada tahun 2023.
"Belanjawan MADANI akan memastikan PMKS tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan mereka.
"Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga RM3,000 kepada setiap RM150,000 pembayar cukai PMKS," katanya.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga menyediakan kemudahan kepada penjaja dan perusahaan kecil.
"Saya sering tegaskan apa guna kita punyai gedung-gedung besar, tetapi rakyat yang hidupnya berniaga kecil-kecilan tidak diambil peduli. Ekonomi rakyat perlu dimartabat, keperluan mereka hendaklah dipenuhi.
"Untuk memaknai hasrat ini, kerajaan menyediakan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.
"Selain itu, sejumlah RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA)," katanya.
Menurutnya, kerajaan turut menyediakan kemudahan pinjaman dan Jaminan Pembiayaan manfaat usahawan PMKS dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.
"Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.
"Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME), hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Antaranya untuk meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.
"Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga 20 bilion ringgit pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90 peratus,"katanya.
(Web source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/02/939499/belanjawan-2023-tiga-kemudahan-bantu-peniaga-pmks)