Belanjawan 2026: RM2.4 bilion bagi perkasa usahawan Bumiputera

Berita Harian

10 October 2025

Belanjawan 2026: RM2.4 bilion bagi perkasa usahawan Bumiputera

 Link Youtube: https://youtu.be/R2mlqr9H-QA

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan khusus bagi menyokong kelangsungan dan memperkukuh kapasiti kontraktor Bumiputera G1 hingga G4, selaras dengan usaha memperkasa penyertaan usahawan Bumiputera.

Langkah itu adalah sebahagian daripada agenda besar Kerajaan MADANI memperkasa ekonomi Bumiputera yang kini dipacu melalui pendekatan lebih terangkum di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Rakyat Bumiputera (PuTERA35).

Keutamaan diberikan kepada pembiayaan, pembangunan bakat dan pemilikan strategik supaya lebih ramai usahawan Bumiputera dapat melonjak ke sektor bernilai tambah tinggi.

Daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebanyak RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan Bumiputera.

Selain itu, program Jaguh Serantau, SME Bank menyediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.

Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA pula menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera khususnya kontraktor muda industri pembinaan.

Katanya, kerajaan juga menyediakan RM40 juta bagi mempercepatkan proses peningkatan skala syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, selain memperkukuh ekosistem pelaburan dan keusahawanan melalui penglibatan aktif GLIC dan GLC.

Susulan penyatuan Ekuinas dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga disenaraikan dan diambil alih oleh PNB, manakala PHB pula memperkukuh pemilikan strategik Bumiputera dalam hartanah dan perniagaan utama.

Dalam langkah memperkukuh pemilikan aset, kerajaan turut menambah 20.23 hektar (50 ekar) tanah Rizab Melayu di Bandar Malaysia, yang bakal dibangunkan oleh Petronas menjelang akhir 2026.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi perhatian terhadap penyertaan Bumiputera dalam industri strategik seperti aeroangkasa, dengan memastikan projek pembesaran Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitarnya diterajui kerajaan serta GLC supaya kepentingan nasional dan penyertaan Bumiputera terus diutamakan.

Selain itu, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara bagi memperkasa keusahawanan di peringkat komuniti.

Bagi memperkukuh sokongan terhadap usahawan Bumiputera, RM10 bilion daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dikhususkan untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Program Jaguh Serantau SME Bank pula menyediakan RM200 juta pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport, manakala Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA memperuntukkan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi.

Selain itu, CIDB menyalurkan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing kontraktor muda Bumiputera dalam industri pembinaan.

Anwar berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada sektor teknologi dengan VentureTECH melabur dalam 31 syarikat teknologi Bumiputera, sembilan daripadanya sudah menembusi pasaran global.

"Bagi memperkukuh pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor teknologi tinggi, kerajaan memperuntukkan RM105 juta kepada VentureTECH," katanya.

Dalam bidang pendidikan dan peningkatan kemahiran, kerajaan memperuntukkan RM6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja Bumiputera berkemahiran tinggi.

 

(Web Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/10/1456883/belanjawan-2026-rm24-bilion-bagi-perkasa-usahawan-bumiputera)