Bernama Malay
12 June 2023
EXIM GEFP 2023 SEDIA PENYELESAIAN KEWANGAN HOLISTIK UNTUK PKS -TENGKU ZAFRUL
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Program Pembiayaan Exim ‘Go-Export’ (GEFP 2023) oleh Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank), menyediakan penyelesaian pembiayaan holistik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata program meliputi tiga produk berbeza iaitu Exim Go-SMExport, EXIM Go Export Ace dan Exim Go Export Greentech itu menggabungkan geran dandana kerajaan dengan kepakaran yang dimiliki Exim sejak sekian lama dalam menyediakan penyelesaian kompetitif untuk syarikat dan PKS berorientasikan eksport.
“Exim Go SMExport, contohnya, khas bagi menyokong dan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran PKS untuk memasuki pasaran global. PKS boleh menggunakan pembiayaan ini untuk membangunkan, menaik taraf atau memperluas infrastruktur, kilang dan kemudahan mereka, serta memperoleh jentera dan peralatan.
“Exim Go Export Ace pula khusus untuk syarikat utama membina dan mengekalkan ekosistem rantaian bekalan yang berdaya tahan serta meningkatkan kesinambungan perniagaan vendor mereka. Vendor meraih manfaat dengan mendapat akses pantas kepada dana dan menikmati fleksibiliti terbaik dari segi terma kredit,” katanya ketika berucap melancarkan GEFP 2023 di sini, pada Isnin.
Beliau berkata Exim Go Export Greentech ialah pembiayaan komprehensif dan dipacu kemampanan untuk membantu pengeksport mengembangkan dan memperluas perniagaan mereka dalam sektor strategik seperti automasi, teknologi digital, teknologi hijau dan bioteknologi.
Exim GEFP 2023 menyediakan pembiayaan untuk PKS dan pelanggan korporat, membolehkan mereka melabur dan berkembang dalam bidang pembangunan eksport, teknologi hijau dan ekosistem rantaian bekalan.
Program yang akan menjadi pemangkin untuk perniagaan itu membolehkan PKS dan pelanggan korporat mengembangkan perniagaan mereka, memperoleh dana untuk keperluan aliran tunai atau berkembang dalam teknologi hijau strategik dan/atau sektor teknologi lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank, Arshad Ismail berkata sasaran program itu adalah untuk membantu pelanggan PKS dan korporat membangunkan perniagaan eksport yang berjaya.
“Program Exim Go Export adalah penyelesaian perbankan khusus yang mengutamakan keperluan pelanggan kami dan memastikan tawaran kami seiring dengankeperluan perniagaan eksport khusus mereka. Kami membantu mereka berkembang dan memenuhi mandat kami,” katanya.
Semasa pelancaran itu, Exim Bank juga membentuk kerjasama dengan Etiqa General Takaful Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU dengan Etiqa bertujuan memperkukuh penjualan silang produk takaful am dan kemudahan pembiayaan.
MoU dengan SJPP pula untuk meneguhkan lagi kerjasama sedia ada dalam melaksanakan kemudahan pembiayaan dan skim jaminan ke atas cadanganberorientasikan domestik dan eksport, jelas bank itu.
-- BERNAMA
(Web Source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2197262)