Intipati Belanjawan 2024

Bebas News

14 October 2023

Intipati Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat, jam 4 petang semalam.

Ia adalah belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Penjawat awam gred 56 ke bawah terima RM2,000

Kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Kadar maksimum bantuan STR dinaikkan kepada RM3,700

Kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini. Selain itu, kadar minimum STR bagi golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

Harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,300 satu tan

Kerajaan mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan berbanding RM1,200, kadar sejak 2014.

Cukai Perkhidmatan naik kepada 8 peratus

Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8 peratus, berbanding 6 peratus.

Rebat RM2,400 beli motosikal elektrik

Kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Berikut adalah intipati Belanjawan 2024:

  • Cadangan kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan tidak termasuk makanan, minuman & telekomunikasi
  • Kerajaan setuju kuatkuasa e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024 – PM Anwar
  • Kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya Euro 750 juta – PM Anwar
  • Agensi penguat kuasa yang tunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang akan diberikan ganjaran sewajarnya
  • BNM dan institusi kewangan Islam juga sedang memajukan program rintis pelaburan berimpak melalui Akaun pelaburan yang lebih meluas.
  • Pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya selama 5 tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam.
  • 9 institusi kewangan menawarkan program khusus untuk PKS halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya.
  • Memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari ke 30 hari.
  • RM25 Juta – Dana tambahan i-TEKAD secara geran padanan dengan institusi kewangan memanfaatkan lebih ramai usahawan.
  • RM500 Juta – Peruntukan tambahan bagi pinjaman mudah untuk meningkatkan pembangunan semula tanah wakaf di seluruh negara.
  • RM44 Bilion – Nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat usahawan PMKS.
  • RM1.4 Bilion – Pinjaman mikro BSN untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.
  • RM330 Juta – Kemudahan pembiayaan TEKUN kepada peniaga kecil, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. RM30 Juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India.
  • RM720 Juta – Peruntukan khas bagi menggalakkan golongan wanita dan anak muda menceburi bidang perniagaan.
  • RM8 Bilion – Dana pinjaman di bawah BNM untuk menyokong syarikat PKS. RM600 Juta daripada itu dikhususkan antaranya untuk membantu usahawan mikro dan usahawan berpendapatan rendah.
  • RM600 Juta – Dana Impak Khazanah Nasional bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang antaranya kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
  • RM20 Bilion – Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menjamin sehingga 80% pinjaman PKS khususnya bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal.
  • RM100 Juta – Peruntukan pembiayaan bagi menyokong inisiatif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membasmi kemiskinan.
  • RM100 Juta – Dana pembiayaan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Model Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi.
  • RM100 Juta – Geran pendigitalan sehingga RM5,000 untuk manfaat lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro.
  • RM900 Juta – Galakan kepada PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan.
  • RM40 Juta – Pelaksanaan Program Shop Malaysia Online bagi menggalakkan peniaga kecil khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah.

 

(Web Source: https://bebasnews.my/2023/10/14/intipati-belanjawan-2024/)