Jumlah kemudahan pinjaman, jaminan untuk usahawan tempatan dinaikkan kepada RM50 bilion

Berita Harian

10 October 2025

Jumlah kemudahan pinjaman, jaminan untuk usahawan tempatan dinaikkan kepada RM50 bilion

 Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan yang tersedia untuk manfaat usahawan tempatan bagi tahun depan bernilai RM50 bilion berbanding RM40 bilion tahun ini.

Selain itu, lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan antaranya di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Jumlah jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) pula ditingkatkan kepada RM30 bilion, berbanding RM20 bilion.

Selain menjamin syarikat sektor bernilai tinggi, skop SJPP turut diperluas bagi menjamin usahawan mikro, manakala peruntukan juga disediakan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebanyak RM50 juta sebagai dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejak penularan pandemik COVID-19, Bank Negara Malaysia (BNM) menyalurkan lebih RM29 bilion kepada lebih 86,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Dana BNM, daripada lebih RM32 bilion yang disediakan untuk menyokong keperluan pembiayaan PKS.

Bagi meluaskan capaian, Dana BNM akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan, dengan tumpuan kepada segmen yang kurang mendapat akses pembiayaan serta aktiviti berimpak tinggi seperti pendigitalan, automasi, inovasi dan peralihan hijau.

"Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) digalakkan beradaptasi dengan teknologi dan pendigitalan. Institusi kewangan pembangunan (DFI) menyediakan pembiayaan dan geran hampir RM1 bilion untuk menyokong automasi proses dan pendigitalan operasi perniagaan.

"MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menyediakan RM350 juta bagi memperkasa Pusat NADI termasuk membimbing usahawan desa menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

"Bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan, Kerajaan bercadang nilai ambang gaji bagi kontrak penggajian yang dikecualikan dari kenaan duti setem dinaikkan daripada RM300 kepada RM3,000 sebulan mulai 1 Januari 2026," katanya.

 

(Web Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/10/1456847/jumlah-kemudahan-pinjaman-jaminan-untuk-usahawan-tempatan-dinaikkan)