Kemudahan pinjaman, jaminan usahawan dinaikkan kepada RM50b tahun depan

Malaysia Gazzete

10 October 2025

Kemudahan pinjaman, jaminan usahawan dinaikkan kepada RM50b tahun depan

 Penjawat awam menyaksikan siaran langsung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Belanjawan bagi tahun 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan dinaikkan kepada RM50 bilion pada tahun hadapan berbanding RM40 bilion sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi serta usahawan mikro.

“Kita mahu pastikan semua lapisan usahawan daripada mikro hingga berimpak tinggi mendapat sokongan yang adil dan berkesan,” katanya dalam ucapan perbentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, katanya, lebih RM2.5 bilion akan disalurkan sebagai pinjaman mikro melalui institusi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional bagi membantu usahawan kecil menambah baik aliran tunai serta memperluas operasi.

Dalam masa sama, jumlah jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut ditingkatkan kepada RM30 bilion berbanding RM20 bilion sebelum ini.

“Selain menjamin syarikat sektor bernilai tinggi, skop SJPP kini diperluas untuk turut menjamin usahawan mikro,” jelas Anwar.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menyediakan dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan koperasi di seluruh negara.

“Koperasi adalah nadi ekonomi komuniti, ia mesti diperkukuh agar terus memberi manfaat kepada rakyat di akar umbi,” katanya.

Anwar berkata, sejak penularan pandemik Covid-19, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyalurkan lebih RM29 bilion kepada lebih 86,000 PKS melalui Dana BNM, daripada keseluruhan RM32 bilion yang disediakan bagi menyokong keperluan pembiayaan sektor tersebut.

“Bagi meluaskan capaian, Dana BNM akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan dengan tumpuan kepada segmen yang kurang mendapat akses pembiayaan serta aktiviti berimpak tinggi seperti pendigitalan, automasi, inovasi dan peralihan hijau,” ujar beliau.

Kerajaan juga menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beradaptasi dengan teknologi baharu serta pendigitalan operasi.

Institusi kewangan pembangunan (DFI) juga katanya akan menyediakan hampir RM1 bilion dalam bentuk pembiayaan dan geran bagi menyokong usaha ini.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM350 juta bagi memperkasa Pusat NADI untuk membimbing usahawan desa meningkatkan pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

“Transformasi digital adalah kunci daya saing masa depan dan kita tidak mahu ada rakyat yang tertinggal,” ujar Anwar. – MalaysiaGazette

 

(Web Source: https://malaysiagazette.com/2025/10/10/kemudahan-pinjaman-jaminan-usahawan-dinaikkan-kepada-rm50b-tahun-depan/)