Public Bank permudah pembiayaan cecah RM11.85 bilion akhir 2022

Harian Metro

27 Julai 2023

Public Bank permudah pembiayaan cecah RM11.85 bilion akhir 2022

 

Public Bank

Kuala Lumpur: Public Bank sentiasa memastikan akses sama rata kepada produk dan perkhidmatan mampu bayar dan bersesuaian kepada orang ramai daripada semua segmen masyarakat.

Dengan menekankan pada keterangkuman kewangan melalui penyediaan pembiayaan mampu bayar bagi menyokong semua segmen terutama pembiayaan bagi perumahan mampu milik, Public Bank mempermudahkan pembiayaan sehingga RM11.85 bilion sampai akhir 2022.

Ini sejajar dengan komitmen Public Bank yang menggerakkan sehingga RM48 bilion bagi pembiayaan mesra Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjelang 2025, termasuk RM15 bilion untuk pembiayaan rumah mampu milik.

Pendedahan domestik Public Bank berjumlah RM67 bilion bagi pemberian pinjaman komersial kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada akhir tahun 2022, bersamaan dengan bahagian pasaran industri sebanyak 18.6 peratus, adalah petanda jelas sokongan kukuh terhadap PKS Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, produk dan kemudahan kewangan komprehensif Public Bank yang memenuhi keperluan individu dan PKS masih disediakan.

"Public Bank memastikan akses kepada pembiayaan sentiasa ada bagi memudahkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mampan selain menyokong mata pencarian masyarakat umum dan sebagai menyokong usaha berterusan kerajaan sepanjang fasa pemulihan ekonomi," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, untuk terus meningkatkan akses kewangan kepada PKS, Public Bank memeterai kerjasama strategik dengan Perbadanan Jaminan Kredit Malaysia (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dalam pelbagai siri skim jaminan yang membolehkan PKS layak tetapi kekurangan cagaran untuk memperoleh pembiayaan.

Katanya, Public Bank juga mengambil bahagian aktif dalam skim khas diperkenalkan kerajaan dan Bank Negara Malaysia sejak pandemik Covid-19 serta meluluskan RM3.7 bilion bagi pembiayaan yang memberi manfaat kepada lebih 18,800 PKS.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/07/992310/public-bank-permudah-pembiayaan-cecah-rm1185-bilion-akhir-2022)