Public Bank, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad beri pembiayaan RM1 bilion kepada PKS

Suara Merdeka

21 September 2023

Public Bank, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad beri pembiayaan RM1 bilion kepada PKS

Public Bank Berhad akan memberi pembiayaan bernilai RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi kerjasama strategik dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Pembiayaan bernilai RM1 bilion itu akan meliputi kesemua skim kewangan yang dijamin oleh SJPP seperti Skim Jaminan Modal Kerja (WCQS), Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) dan lain-lain.

Semasa berucap pada majlis khas bagi menandakan kerjasama strategik dengan SJPP di Menara Public Bank hari ini, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata kerjasama itu akan meningkatkan lagi akses PKS kepada pembiayaan.

“Dengan pendedahan domestik yang besar sebanyak RM67 bilion untuk pemberian pinjaman komersial berasaskan PKS pada akhir tahun 2022, yang bersamaan dengan 18.6% bahagian pasaran industri, Public Bank terus komited untuk membantu segmen PKS untuk maju, berkembang dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Datuk Chang Kat Kiam, SJPP Ketua Pegawai Operasi Juanita Rusmini Abdul Jalil dan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Skim Jaminan) Azlan Mohd Agel dan para pegawai kanan kedua-dua organisasi.

 

(Web Source: https://suaramerdeka.com.my/public-bank-syarikat-jaminan-pembiayaan-perniagaan-berhad-beri-pembiayaan-rm1-bilion-kepada-pks/)