Sinar buat usahawan PKS

Harian Metro

22 October 2025

Sinar buat usahawan PKS

 LOGESWARAN Arumugam sudah menambah seunit kedai menjual pelbagai barangan berkaitan ikan hiasan hasil bantuan SJPP.

Kuala Lumpur: Langkah kerajaan menambah pembiayaan RM30 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) membawa sinar buat usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Usahawan PKS yang pernah menerima manfaat SJPP sebelum ini mengakui akses pembiayaan itu memberi manfaat dari segi pengembangan perniagaan dan memberi limpahan ekonomi kepada sektor tenaga buruh tempatan.

Usahawan taska, Norhishamuddin Mohd Shah, 44, yang menerima manfaat SJPP pada 2023 mampu membuka taska impian mereka pada 2024 dan kini dalam perancangan untuk membuka satu cawangan baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.

Norhishamuddin yang mengusahakan taska itu bersama isterinya, Fareeziana Ahmad Sapei, 37, mengakui SJPP merealisasikan impian mereka dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.

Norhishamuddin berkata, sekitar 2019, mereka hanya mengasuh kanak-kanak di rumah dan dengan adanya SJPP mereka menjadikan modal daripada pembiayaan itu untuk mewujudkan taska yang diiktiraf pada awal tahun lalu.

"Tidak sangka prosesnya begitu mudah. Asalkan kita mempunyai latar belakang pengurusan kredit yang baik, tempoh kelulusan untuk mendapat pembiayaan daripada SJPP tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Katanya, SJPP juga bukan sekadar menyediakan pembiayaan namun, pemohon turut diberi latihan pengurusan kewangan dalam perniagaan supaya penerima manfaat mampu membuat pembayaran mengikut jadual.

"Apabila mempunyai sejarah pembayaran SJPP yang baik, kami juga boleh memohon pembiayaan tambahan.

"Misalnya, pembiayaan pertama kami diluluskan pada awal 2023. Dengan status pembayaran semula yang baik, pada Oktober tahun sama permohonan pembiayaan tambahan turut diluluskan," katanya.

SJPP telah membuka potensi akses pembiayaan hampir RM100 bilion kepada PKS dengan menjamin sehingga 80 peratus daripada risiko yang tidak sanggup ditanggung bank.

SJPP dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) berfungsi mengurus dan mentadbir pelbagai skim jaminan kerajaan untuk merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi oleh PKS, khususnya mereka yang tidak mempunyai cagaran mencukupi atau rekod prestasi yang kukuh bagi memperoleh pinjaman bank.

Tambahnya, dia menyarankan kepada pihak kerajaan untuk terus mempromosikan pembiayaan ini kepada bakal usahawan kerana ia boleh mengelakkan daripada orang ramai membuat pinjaman di platform pembiayaan yang lebih berisiko.

Sementara itu, usahawan menjual pelbagai barangan berkaitan ikan hiasan, Logeswaran Arumugam, 39, mula mendapat pembiayaan SJPP kali pertama pada 2024 dan kali kedua pada tahun ini.

Menerusi manfaat SJPP, dia bukan saja dapat menambah kapasiti produk jualan dan menambah bilangan pekerja malah, mampu meneroka cabang perniagaan baharu di dalam industri ikan hiasan.

Jelasnya, pada awal memulakan perniagaan pada 2021 di Kajang, Selangor, dia bersama tiga rakan kongsi hanya mempunyai sebuah unit kedai untuk perniagaan dan kini sudah menambah seunit kedai hasil bantuan SJPP.

"Malah, kami juga mampu meneroka bidang pembinaan berkaitan kolam ikan hiasan yang lebih baik kerana mempunyai bantuan modal berkenaan.

"Pada tahun depan, saya bercadang untuk membukan tiga cawangan. Pada pandangan saya, SJPP ini memberi banyak manfaat dari segi pengembangan perniagaan untuk usahawan seperti saya," katanya.

Jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan yang tersedia untuk manfaat usahawan tempatan bernilai RM50 bilion, meningkat berbanding RM40 bilion pada tahun sebelumnya.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/pks/2025/10/1278388/sinar-buat-usahawan-pks)