Syarikat kredit enggan sertai skim rehabilitasi sewa beli

Berita Harian

1 June 2021

Syarikat kredit enggan sertai skim rehabilitasi sewa beli

KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta mewajibkan 25 syarikat kredit yang dikenal pasti sebagai paling banyak memberikan pinjaman kepada pengusaha bas menyertai Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi.

Pengerusi Jawatankuasa Bebas Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R Thiagarajan, berkata maklumat yang diterima pihaknya mendapati setakat ini hanya lima syarikat yang telah menandatangani persetujuan menyertai skim berkenaan.

Beliau berkata, baki 20 syarikat masih belum berbuat demikian kerana mereka tidak dikawal selia oleh mana-mana kementerian atau agensi.

Katanya, SGBM telah berunding dengan syarikat berkenaan namun mereka enggan menyertainya dengan alasan ia bukan skim yang diwajibkan.

"Lima yang telah bersetuju ini adalah syarikat kredit yang dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan mereka adalah syarikat-syarikat kredit utama yang besar.

"Pelanggan kepada syarikat-syarikat ini pula adalah syarikat bas yang besar, mereka ada 20 ke 30 buah bas dan ada perniagaan lain seperti lori dan stesen minyak. Bukannya syarikat-syarikat kecil sebagaimana ahli kami," katanya kepada BH hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) berkata kerajaan akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion.

Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Thiagarajan berkata, jika hanya syarikat kredit besar menyertai skim itu, manfaat moratorium hanya dinikmati oleh syarikat bas yang kukuh ekonominya sekali gus menyebabkan hasrat sebenar kerajaan tidak dicapai.

"Jadi apakah nasib syarikat-syarikat kecil yang juga ada hutang? Manfaat skim ini sepatutnya dinikmati oleh golongan benar-benar terkesan," katanya.

Sementara itu Thiagarajan berkata, SGBM bersedia menawarkan perkhidmatan ahli-ahlinya bagi menjayakan program vaksinasi COVID-19 secara bergerak di seluruh negara.

Beliau berkata, penggunaan bas tidak memerlukan ubah suai yang banyak selain membuka kerusi untuk memberi ruang kepada peti sejuk penyimpanan vaksin dan meja.

Katanya, dengan cara itu ahli-ahlinya yang memiliki bas persiaran, ekspres dan sekolah mampu menjana pendapatan sendiri, bukannya bergantung harap kepada bantuan kerajaan semata-mata.

"Kami menghargai kesungguhan kerajaan untuk membantu pemandu bas sekolah dan persiaran dengan bantuan sekali bayar RM500 dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

"Tetapi kerajaan kena faham situasi sebenar kami. Kami tidak mengharapkan bantuan sara diri tetapi kami perlukan kerja supaya dapat terus bertahan dalam keadaan sekarang," katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 30 unit trak bergerak akan digunakan untuk tujuan vaksinasi bergerak di kawasan pembinaan dan sekitar Program Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur.

 

Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/823236/syarikat-kredit-enggan-sertai-skim-rehabilitasi-sewa-beli