Agrobank sedia sokongan SME SRF, prihatin nasib PKS, mikro

Kosmo

14 May 2026

Agrobank sedia sokongan SME SRF, prihatin nasib PKS, mikro

PETALING JAYA – Agrobank meneruskan komitmennya dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran ekonomi global dengan menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME  SRF).

Ini adalah susulan daripada kemudahan khas berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia, yang melengkapi jaminan sedia ada di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC) baru-baru ini.

Sektor-sektor yang diberikan keutamaan di bawah inisiatif pembiayaan ini merangkumi sektor pembinaan, pertanian dan rantaian bekalan agromakanan, logistic dan pengangkutan serta pelancongan, bagi memastikan sektor-sektor strategik yang menjadi pemacu ekonomi negara terus berdaya tahan dan mampan.

Kemudahan pembiayaan ini ditawarkan bagi tujuan membiayai modal kerja perniagaan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM750,000 serta tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.

Inisiatif di bawah Dana Bank Negara Malaysia (BNM Fund) ini turut menawarkan kadar keuntungan kompetitif serendah 3.75 peratus setahun menerusi kemudahan Term Financing-i bagi membantu PMKS mengekalkan operasi perniagaan dan melindungi peluang pekerjaan rakyat.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya komited untuk memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam menyalurkan kemudahan pembiayaan ini secara berkesan dan inklusif, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperluaskan akses kepada PMKS termasuk usahawan baharu.

“Sebagai institusi kewangan pembangunan yang memfokuskan sektor agromakanan, Agrobank memahami cabaran yang dihadapi oleh usahawan, khususnya dalam menghadapi tekanan krisis bekalan global dan konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dunia. Kami menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan sokongan kewangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, Agrobank akan terus memperkukuh peranannya dalam menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah dan cepat kepada PMKS sektor agromakanan serta keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian selain menyokong keterangkuman kewangan termasuk usahawan luar bandar selain memastikan penyaluran dana dilakukan secara bertanggungjawab dan berimpak tinggi. -KOSMO! ONLINE

 

(Web source: https://www.kosmo.com.my/2026/05/14/agrobank-prihatin-nasib-pks-mikro-sedia-sokongan-sme-srf/)