TVS
29 June 2026
Dewan Rakyat: Pembiayaan lebih RM4 bilion tersedia bantu PMKS tangani impak krisis bekalan global
Akmal Nasrullah menjawab pertanyaan berkaitan dana disediakan kerajaan membantu PMKS berdepan impak krisis bekalan tenaga global di Dewan Rakyat hari ini. Foto fail Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR, 29 Jun: Dewan Rakyat dimaklumkan kerajaan masih mempunyai lebih RM4 bilion kemudahan pembiayaan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis bekalan global menerusi SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) kendalian Bank Negara Malaysia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, daripada peruntukan keseluruhan RM5 bilion yang disediakan, lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PMKS setakat 18 Jun lalu.
Menurut beliau, baki pembiayaan yang masih tersedia menunjukkan kerajaan mempunyai ruang mencukupi untuk terus membantu lebih banyak PMKS yang berdepan tekanan aliran tunai susulan peningkatan kos operasi.
“Sokongan pembiayaan turut disediakan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dengan sebanyak 225 akaun diluluskan membabitkan pembiayaan berjumlah RM157.52 juta bagi sektor yang terkesan termasuk agro, pembinaan, logistik, pengangkutan dan pelancongan.”
“Kerajaan juga melaksanakan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan milik kerajaan dan agensi kerajaan antara 20 hingga 50 peratus kepada peniaga serta penjaja kecil yang layak,” katanya ketika memberi penerangan mengenai krisis bekalan global di sini hari ini.
Pada masa sama, Akmal Nasrullah memaklumkan kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut ditambah baik bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan domestik tanpa menjejaskan usaha membendung ketirisan subsidi.
Beliau menambah, bantuan berkenaan merupakan antara langkah kerajaan memastikan PMKS terus beroperasi dan kekal berdaya tahan ketika negara berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global. -TVS

