Berita Harian
14 Oktober 2026
Jaminan pembiayaan rekod RM57 bilion perkasa PMKS
Gambar fail. Peniaga Keropok, Nor Sazuani Zakariah, 35 yang berniaga di Pasar Kedai Payang. - NSTP/GHAZALI KORI
KUALA LUMPUR: Perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan bakal meraih manfaat daripada nilai rekod jaminan pinjaman dan pembiayaan RM57 bilion menerusi Belanjawan 2027.
Ahli ekonomi dan pakar dasar, Profesor Geoffrey Williams, berkata jumlah itu meningkat berbanding RM50 bilion yang disediakan pada 2026.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata pakej berkenaan merangkumi pembiayaan mikro RM6.6 bilion menerusi institusi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional.
Selain itu, jaminan pembiayaan RM32 bilion disediakan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd.
Williams berkata kerajaan MADANI merangka Belanjawan 2027 berasaskan tiga tonggak utama, iaitu menambah baik akses kepada pembiayaan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meluaskan peluang pasaran.
Beliau berkata kadar cukai pendapatan korporat bagi PMKS dikurangkan sehingga dua mata peratusan, yang berpotensi memberi penjimatan sehingga RM6,000 setahun kepada kira-kira 300,000 perniagaan.
Langkah lain termasuk diskaun sewaan 50 peratus sepanjang 2027 kepada peniaga kecil yang menyewa premis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Proses perolehan kerajaan turut dipermudah menerusi lantikan terus bernilai sehingga RM200,000 bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang layak.
Williams berkata RM30 juta turut diperuntukkan bagi membantu 4,000 PMKS mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
"Inisiatif seperti geran padanan bagi pensijilan halal kali pertama dan peluasan peluang perolehan bernilai RM7.5 bilion untuk kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 mencerminkan pendekatan menyeluruh 'keseluruhan kerajaan' yang memastikan tiada usahawan tercicir.
"Belanjawan 2027 meletakkan asas yang kukuh dan berdaya tahan bagi masa depan ekonomi Malaysia.
"Ia menggabungkan peruntukan besar sebanyak RM1.028 bilion kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pembiayaan eksport bersasar melalui Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
"Selain itu, penekanan terhadap perdagangan digital yang adil menerusi Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dicadangkan," tambahnya.
– BERNAMA
(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2026/10/1669489/jaminan-pembiayaan-rekod-rm57-bilion-perkasa-pmks)

