Harian Metro
21 April 2026
Kerajaan tambah RM5 bilion jaminan SJPP bantu PMKS terjejas
ANWAR Ibrahim ketika sidang media sesi meja bulat bersama institusi kewangan di Sasana Kijang hari ini. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Kerajaan akan menambah peruntukan jaminan sebanyak RM5 bilion lagi di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk menyokong PMKS yang terkesan kepada RM10 bilion.
Tambahan sokongan itu dibuat susulan pengumuman Kementerian Kewangan mengenai beberapa langkah bagi membantu PMKS, termasuk peruntukan RM5 bilion di bawah SJPP semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan RM5 bilion itu dijangka diumumkan perinciannya dalam beberapa hari lagi, sekali gus meningkatkan keupayaan pembiayaan kepada perusahaan yang memerlukan sokongan segera.
Katanya, kemudahan berkenaan bertujuan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, khususnya kepada syarikat yang terkesan dan memerlukan suntikan sokongan bagi meneruskan operasi.
"Saya sudah minta Bank Negara Malaysia untuk segera menambah kemudahan ini supaya daripada RM5 bilion yang diberikan khas, ditambah lagi dan Gabenor akan mengumumkan perinciannya dalam beberapa hari lagi dengan tambahan RM5 bilion lagi, menjadikan keseluruhan RM10 bilion.
"(Inisiatif) ini untuk membantu memacu pertumbuhan sebagai pemangkin kepada syarikat-syarikat yang memerlukan bantuan," katanya dalam sidang media Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Anwar mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan PMKS, antaranya peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP.
Beliau dilaporkan berkata, peruntukan itu bagi menyokong PMKS yang terjejas termasuk sektor pembinaan, pertanian dan agro-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan ini akan membabitkan syarikat-syarikat yang lebih kecil untuk memastikan tiada pihak yang tercicir.
"Kerajaan mahu memastikan kelompok seperti pekebun kecil, nelayan serta penjaja kecil termasuk pengusaha warung dan restoran turut mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan.
"Kita mahu rakyat tidak rasa terpinggir dan terabai dan saya mahu supaya kemudahan yang diumumkan ini menetapkan supaya kelompok paling kecil ini juga memperoleh manfaat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan beberapa perkara termasuk SJPP yang memerlukan perhatian kerajaan akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.
"Saya sendiri akan bawa ke Jemaah Menteri supaya proses dipercepatkan, kelulusan itu tidak terlalu mengambil masa dan tidak terlalu birokratik kerana dalam keadaan menghadapi isu dan krisis sekarang ini, kecekapan dan kepantasan (dalam) membuat keputusan sangat mendesak ini," katanya.
(Web source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/04/1348610/kerajaan-tambah-rm5-bilion-jaminan-sjpp-bantu-pmks-terjejas)

