Krisis tenaga global: Uji upaya kerajaan ‘payungi’ rakyat tanpa kosongkan tabung negara

Malaysia Gazette

24 May 2026

Krisis tenaga global: Uji upaya kerajaan ‘payungi’ rakyat tanpa kosongkan tabung negara

 Penjawat awam meneruskan tugasan dari dalam suasana tenang berikutan pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 April 2026

KALAU beberapa tahun lalu, sebut sahaja perang di Asia Barat, gangguan kapal kargo di Selat Hormuz atau lonjakan harga minyak mentah, kita selalunya dengar dengan acuh tak acuh.

Bagi kita, itu semua ‘cerita orang putih’ atau ‘Pak Arab’ di kaca televisyen yang jaraknya jauh dari meja makan kita.

Hari ini, ceritanya sudah berubah. Impak geopolitik dunia itu rupa-rupanya tidak perlu pasport untuk sampai ke Malaysia. Kesannya sudah mula mengetuk pintu rumah kita.

Peniaga runcit mula mengeluh kos operasi naik, syarikat lori mula berkira-kira tarif penghantaran, manakala kilang-kilang pening kepala menunggu bahan mentah yang makin lambat tiba.

Pendek kata, dunia sedang memasuki satu fasa yang sangat tidak selesa. Sebab itu, amaran Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein baru-baru ini bukan sekadar ‘gula-gula’ statistik.

Beliau menjangkakan Jun dan Julai ini bakal menjadi tempoh agak kritikal, apabila banyak syarikat industri mula kehabisan stok lama bahan mentah, stok yang selama ini menjadi ‘penampan’ atau penyelamat operasi mereka.

Isu utama sekarang bukan sahaja barang tiada tetapi rantaian logistik global sudah jadi macam biskut – sekejap ada, sekejap tiada.

Suka atau tidak, tempias kerapuhan pasaran tenaga dan bekalan dunia ini mahu tak mahu akan singgah juga ke ribaan kita. Ketika ombak ekonomi sebegini besar menghempas, di sinilah benteng sesebuah kerajaan diuji.

Mengurus negara ketika ini bukan sekadar memastikan roda ekonomi berputar, tetapi bagaimana mahu ‘memayungi’ rakyat tanpa mengosongkan tabung negara.

Dalam situasi ini, pendekatan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilihat sebagai satu tindakan pragmatik dan cermat.

Kerajaan tidak memilih jalan populis seperti tabur duit melulu demi tepukan dan sorakan, tetapi memilih langkah berperingkat yang lebih mampan.

Menariknya, fokus bantuan kali ini bukan sekadar untuk golongan B40. Realitinya, bila ribut global melanda, kelompok M40, peniaga kecil, dan perusahaan sederhana (PMKS) sebenarnya antara paling awal ‘sesak nafas’.

Tengok sahaja langkah sekecil pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor tertentu. Ia bukan lagi sekadar trend gaya hidup moden atau fleksibiliti kerja.

Kurang kereta di jalan raya bermakna kurang penggunaan bahan api. Pejabat yang lengang menjimatkan bil elektrik. Di kala krisis tenaga global, ini strategi penjimatan negara yang pintar.

Malah, keputusan kerajaan untuk tidak mengadakan rumah terbuka rasmi perayaan termasuk Aidilfitri tahun ini membawa mesej psikologi yang sangat kuat. Budaya berjimat-cermat mesti bermula dari tingkat atas, bukan sekadar menyuruh rakyat di bawah mengikat perut.

Bagi mengelak tulang belakang ekonomi kita iaitu PMKS lumpuh, peruntukan jaminan tambahan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) diwujudkan.

Sektor kritikal seperti logistik, pembinaan, pertanian dan pelancongan sekurang-kurangnya mendapat talian hayat untuk bernafas ketika bergelut dengan aliran tunai.

Begitu juga dalam isu pelaksanaan e-Invoice. Langkah kerajaan memberi tambahan tempoh peralihan 12 bulan sehingga akhir 2027 bagi syarikat dengan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta membuktikan kerajaan mendengar keluhan di padang. Tiada penalti melulu, sebaliknya ruang penyesuaian diberikan.

Bagi rakyat di kampung atau taman perumahan, benteng paling dekat tentulah Program Jualan Rahmah. Dengan sasaran sehingga 30,000 penganjuran di semua kawasan DUN, potongan harga lima hingga 30 peratus untuk barang asas sekurang-kurangnya dapat mengurangkan ‘luka’ dalam dompet harian rakyat.

Jangan dilupa bapa makanan kita, para pesawah. Langkah mendahulukan insentif pembajakan padi RM200 sehektar kepada lebih 240,000 pesawah berdaftar adalah tindakan strategik demi memastikan bekalan beras dan sekuriti makanan negara tidak terganggu.

Sambil memberi bantuan, kementerian sendiri kena tunjuk teladan. Bulan lalu, Kementerian Kewangan mengeluarkan ‘surat pekeliling’ supaya semua kementerian menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus.

Terkini, kira-kira 50 peratus sasaran penyelarasan perbelanjaan itu berjaya dicapai tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Ini baru betul, potong ‘lemak’ tidak perlu, kekalkan ‘otot’ perkhidmatan.

Hakikatnya, semua payung perlindungan dan intervensi ini datang dengan tanda harga yang sangat mahal. Ruang kewangan negara semakin sempit apabila hasil dunia tidak menentu.

Oleh itu, seruan agar rakyat mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah bukan sekadar retorik kosong.

Krisis global ini masih jauh daripada penamatnya. Konflik geopolitik belum nampak tanda reda. Namun, dalam keadaan dunia tidak menentu ini, kita boleh menarik nafas lega kerana kerajaan memilih untuk memikul beban itu bersama-sama rakyat, bukannya melepaskan kita bulat-bulat ke dalam kancah pasaran bebas.

Mencantikkan angka ekonomi di atas kertas itu kerja mudah bagi pakar akaun.

Namun, memastikan rakyat marhain boleh tidur lena dan meneruskan kehidupan dengan tenang ketika dunia di luar sana sedang bergolak, itulah tugas hakiki sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

 

(Web source: https://malaysiagazette.com/2026/05/24/krisis-tenaga-global-uji-upaya-kerajaan-payungi-rakyat-tanpa-kosongkan-tabung-negara/.)