Buletin TV3
25 June 2026
Lebih RM700 juta pembiayaan SME SRF diluluskan kepada lebih 1,000 PKS

KUALA LUMPUR: Lebih RM700 juta pembiayaan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) diluluskan kepada lebih 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini sehingga 18 Jun lalu.
Menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ia menjadikan jumlah peruntukan masih tersedia bagi kemudian pembiayaan itu sebanyak lebih RM4 bilion.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada kelangsungan operasi PMKS dan industri tempatan. Ini termasuk melalui BNM SME Stabilation Relief Facility (dengan izin), SME SRF atau Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS yang berjumlah RM5 bilion.
“Sehingga 18 Jun 2026, pembiayaan sebanyak lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS. Maka, lebih RM4 billion daripada peruntukan masih tersedia, menunjukkan ruang yang mencukupi untuk membantu syarikat menguruskan aliran tunai dan mengurangkan gangguan operasi.
“Selain itu, kemudahan jaminan pembiayaan melalui dana tambahan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sebanyak RM5 bilion juga disediakan oleh Kerajaan,” jelasnya.
Tambah Akmal Nasrullah, beberapa pakej bantuan juga disediakan kerajaan termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta.
Ia sebagai intervensi menyeluruh dalam melindungi sektor pekerjaan dan menyokong kelangsungan perniagaan di negara ini.
“Di bawah PACE, lebih RM580 juta disediakan melalui PERKESO bagi mengukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.
“Selain itu, RM100 juta disediakan di bawah HRD Corp bagi latihan dan penempatan kerja, disokong oleh platform MYFutureJobs untuk mempercepat padanan pekerjaan, khususnya kepada belia dan kumpulan rentan.
“Kerajaan juga menyediakan RM20 juta bagi latihan pekerja gig melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) serta RM10 juta melalui TalentCorp bagi menyokong latihan industri dalam kalangan PMKS dan syarikat pemula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
(Web Source: https://www.buletintv3.my/nasional/lebih-rm700-juta-pembiayaan-sme-srf-diluluskan-kepada-lebih-1000-pks/)

