Pakej PERMAI RM500 sekali beri untuk pemandu pelancong, teksi dan bas

Bernama

18 January 2021

Pakej PERMAI: RM500 sekali beri untuk pemandu pelancong, teksi dan bas

KUALA LUMPUR, 18 Jan -- Pemandu pelancong, teksi dan bas akan menerima bantuan kewangan sekali beri sebanyak RM500 melibatkan peruntukan tambahan RM66 juta di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemberian bantuan itu meliputi 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

Selain itu, beliau berkata pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi kini dilonggarkan syaratnya daripada minimum pemilikan kenderaan selama tujuh tahun kepada lima tahun mulai 1 Jan hingga 31 Dis ini.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas pakej bantuan PERMAI yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial.

Pemberian bantuan bagi meringankan beban golongan berkenaan di kala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini merupakan antara 22 insiatif di bawah PERMAI bernilai RM15 bilion.

Muhyiddin berkata Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan turut akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, dan di bawah skim itu 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.

 

Web source: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1923200