Peruntukan RM5 bilion bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sokong PMKS terjejas

Berita Harian

20 April 2026

Peruntukan RM5 bilion bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sokong PMKS terjejas

 Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sehingga RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis tenaga global berikutan perang Asia Barat.

Kementerian Kewangan berkata antara sektor terbabit yang diberikan keutamaan ialah bidang pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.

"Jaminan bagi sektor yang terkesan itu ditambah baik, berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus (biasa 70 peratus) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun (biasa tujuh tahun).

"SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian berkata setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Selain itu, kementerian juga mengumumkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-invois fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh berkenaan.

Pada masa sama, pertimbangan secara interim diberikan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik sehingga 31 Disember depan.

"Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudah cara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat," katanya.

Kementerian Kewangan berkata langkah berkenaan diputuskan hasil libat urus antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan dengan PMKS hari ini dan minggu lalu bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan dalam usaha membantu perniagaan yang terkesan dari segi kos operasi dan rantaian bekalan.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan, berkata tempias konflik Asia Barat ternyata memberi kesan meluas kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain.

Justeru katanya, libat urus bersama PMKS komuniti Cina dan India hari ini adalah sebahagian daripada gerak kerja berterusan Kerajaan MADANI sejak awal krisis, selepas libat urus antara Perdana Menteri bersama PMKS Bumiputera pada minggu lalu, sekali gus membuktikan tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.

"Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada mereka yang paling memerlukan," katanya.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan sama menegaskan, kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan.

"Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah, sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandukan maklum balas secara terus daripada pemain industri bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan usahawan supaya setiap langkah yang diambil membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.

"Ini bukan situasi sementara. Kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan," katanya dalam kenyataan sama.

 

(Web source: http://bharian.com.my/amp/berita/nasional/2026/04/1536027/peruntukan-rm5-bilion-bawah-syarikat-jaminan-pembiayaan-perniagaan)