RHB Bank catat untung bersih RM857 juta pada suku pertama

Berita Harian

29 May 2026

RHB Bank catat untung bersih RM857 juta pada suku pertama

 Gambar fail. - NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI

KUALA LUMPUR: Kumpulan RHB Bank Bhd (RHB) mencatat keuntungan bersih RM857 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat berbanding RM750 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu mencerminkan kekuatan asas kewangan kumpulan perbankan berkenaan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik semasa.

Berdasarkan kenyataan bank itu, pencapaian berkenaan dipacu jumlah pendapatan mampan sebanyak RM2.2 bilion yang disumbangkan oleh pendapatan berasaskan dana serta bukan berasaskan dana bersih.

Pada masa sama, pengurusan kos yang berdisiplin membantu menambah baik Nisbah Kos-kepada-Pendapatan (CIR) kepada 46.2 peratus.

Prestasi keuntungan itu turut disokong oleh jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah iaitu RM90 juta berbanding RM106 juta pada suku pertama tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata persekitaran operasi perniagaan ketika ini terus dipengaruhi ketidaktentuan global termasuk ketegangan geopolitik.

"Berlatarbelakangkan keadaan ini, kami kekal komited untuk menyokong pelanggan kami sambil mengekalkan disiplin kewangan yang berhemat," katanya.

Dari sudut kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM365 bilion, didorong pertumbuhan pinjaman kasar kepada RM254 bilion.

Pertumbuhan itu disokong prestasi stabil merentasi segmen perbankan komuniti, korporat dan operasi cawangan di Singapura.

RHB turut memberi tumpuan kepada usaha membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berdepan tekanan kos menerusi program Bantuan Pelepasan Bersasar (TRA).

Selain itu, kumpulan perbankan berkenaan memeterai kerjasama strategik dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) bagi memudahkan pembiayaan bernilai RM1 bilion.

PKS yang layak juga boleh mendapatkan pembiayaan modal pusingan sehingga RM750,000 menerusi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SRF) oleh Bank Negara Malaysia pada kadar pembiayaan kompetitif 3.75 peratus setahun.

Dalam aspek keselamatan digital, RHB melancarkan alat penilaian keselamatan siber pertama diterajui institusi perbankan di Malaysia khusus untuk segmen PKS.

Alat itu direka bagi membantu peniaga memahami tahap pendedahan operasi mereka terhadap risiko siber dan ancaman penipuan digital yang semakin canggih.

"Dalam era di mana ancaman siber menjadi semakin canggih dan kelemahan digital membawa risiko yang lebih besar, melengkapkan perniagaan dengan alat yang betul untuk melindungi operasi mereka secara proaktif adalah amat penting," kata Mohd Rashid.

Mengenai prospek ekonomi, RHB menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan sekitar 4.7 peratus pada 2026.

Unjuran itu disokong permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan dan kestabilan pasaran buruh selepas ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

Bagaimanapun, kumpulan itu mengakui cabaran ekonomi dijangka semakin mencabar menjelang suku kedua 2026 susulan ketegangan geopolitik dan konflik minyak di Asia Barat yang boleh menjejaskan kestabilan harga tenaga serta sentimen pasaran.

Dalam perkembangan lain, perbankan Islam kini menyumbang 47.1 peratus daripada keseluruhan pembiayaan domestik kumpulan.

Pada masa sama, baki akaun menerusi inisiatif ekosistem MySiswa melonjak lebih 100 peratus kepada RM732 juta.

RHB berkata pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi di bawah pelan PROGRESS27 dengan mengekalkan pertumbuhan mampan, pengurusan risiko berhemat dan usaha membantu pelanggan membina daya tahan menghadapi cabaran pasaran.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/05/1564808/rhb-bank-catat-untung-bersih-rm857-juta-pada-suku-pertama.)