Berita RTM
21 April 2026
SJPP dinaikkan kepada RM10 bilion, sokong PKS hadapi krisis
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas sesi meja bulat bersama 20 wakil institusi kewangan di Sasana Kijang/Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 21 April – Kerajaan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), menjadikan jumlah keseluruhan RM10 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian lanjut mengenai pengumuman itu akan diumumkan Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat.
Menurutnya, insentif tambahan itu bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi serta menjadi pemangkin kepada perkembangan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan sokongan susulan krisis bekalan global.
“Dan bantuan ini mesti juga melibatkan syarikat-syarikat yang lebih kecil dan kita minta dipastikan dengan semua pembudayaan lain, CGC dan lain-lain yang ada dalam rencana Bank Negara Malaysia bersama Perbendaharaan supaya melibatkan juga kelompok pertanian, pekebun kecil, nelayan, penjaja, juga yang mengendalikan warung dan restoran kecil.
“Kita mahu supaya golongan usahawan berpendapatan rendah dan syarikat-syarikat kecil yang melibatkan ramai rakyat itu tidak rasa terpinggir dan terabai dan saya mahu supaya kemudahan yang diumumkan ini menetapkan supaya kelompok paling kecil ini juga memperoleh manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi meja bulat bersama institusi kewangan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata perkara lain yang dibangkitkan berhubung krisis berkenaan, termasuk isu berkaitan SJPP, akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya sendiri akan bawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya proses dipercepatkan, kelulusan itu tidak terlalu mengambil masa, birokratik kerana dalam keadaan menghadapi isu dan krisis sekarang ini, kecekapan, kepantasan keputusan itu sangat mendesak,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Anwar mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM5 bilion di bawah SJPP sekali gus menambah baik jaminan bagi sektor terkesan melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, serta tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.

